suria

Tiga Maut, Kilang Sawit Di Terengganu Meletup

HULU TERENGGANU: Tiga pekerja termasuk seorang penyelia kilang memproses kelapa sawit milik sebuah syarikat perladangan terkemuka di sini, maut dalam satu letupan di bahagian memasak buah sawit pada kira-kira 7.45 malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Ismail Muslim, ketika mengesahkan kejadian itu, berkata mangsa yang maut ialah Azmi Abdullah, 57, seorang penyelia dari Manir manakala dua lagi warga Nepal iaitu Pramod Kumar Ray, 30, dan Sanjib Kumar Pasman, 26.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah daripada satu letupan di salah satu mesin mengukus buah kelapa sawit di kilang itu," katanya.

Beliau berkata mangsa yang kritikal ialah Mohd Razlan Mokhtar, 25, dari Kuala Berang manakala mereka yang cedera ringan adalah Ahmmed Ali, 39, Rezuyam Marom Ali, 45, dari Bangladesh serta Sabad Yedan, 44, dari Nepal.

Katanya, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Hulu Terengganu dan polis masih menyiasat punca sebenar kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain