suria

Pertahankan Keharmonian Dan Keamanan Negara - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini untuk terus mempertahankan dan menyemarakkan keharmonian serta keamanan yang dikecapi selama ini.

Beliau berkata keharmonian adalah prasyarat utama untuk Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju, baik dari segi ekonomi, sosial dan pendidikan sejak merdeka hingga ke hari ini.

Katanya kejayaan negara menempa kemajuan dan kemakmuran bersama bergantung kepada sejauh mana keharmonian yang dikecapi hari ini dapat terus disemarakkan.

"Lebih-lebih lagi, dalam usaha kita untuk mencapai cita-cita menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020, keharmonian yang dibina atas semangat kerjasama, perpaduan dan penerimaan antara masyarakat berbilang kaum dan agama adalah amat penting.

"Kita bersyukur kerana Malaysia hari ini sedang berada di landasan yang betul dalam perjalanan kita untuk menjadi sebuah negara maju," katanya dalam perutusan sempena sambutan Krismas di sini, Isnin.

Timbalan Perdana Menteri berkata ekonomi negara berkembang pesat dengan mencatat pertumbuhan yang positif, walaupun iklim ekonomi dunia agak tidak menentu buat masa ini.

Beliau berkata pelbagai inisiatif yang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi juga menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan.

"Dengan perkembangan yang amat positif ini, kita yakin harapan dan cita-cita rakyat untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan menjadi kenyataan," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata kejayaan negara menempa kemajuan dan kemakmuran bersama bergantung kepada sejauh mana keharmonian yang dikecapi hari ini dapat terus disemarakkan.

"Kita bersyukur kerana di Malaysia, rakyat berbilang kaum dan agama dapat merayakan hari kebesaran agama masing-masing dalam suasana yang aman dan harmoni," kata beliau.

Muhyiddin berkata ini terhasil daripada sikap saling hormat menghormati dan toleransi antara masyarakat berbilang kaum dan agama yang dibina sejak sekian lama.

"Ini adalah satu nikmat kurniaan Tuhan yang wajar kita hargai dan syukuri. Mudah-mudahan nikmat keharmonian ini akan dapat kita kecapi secara berkekalan," katanya.

Sambil mengucapkan selamat Hari Krismas kepada semua penganut agama Kristian, Muhyiddin juga mengajak seluruh rakyat agar saling kunjung mengunjungi atas semangat 1Malaysia dan meneruskan tradisi kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama yang antara lain dikenali menerusi perayaan masing-masing.

"Sesungguhnya, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk terus meneruskan keharmonian dengan mengamalkan toleransi sesama kaum," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain