suria

Penduduk Mahu K'jaan Selangor Siasat Tanah Rizab Jalan Dijual Kepada Individu

SEPANG: Penduduk Kampung Baru Seri Sg. Pelek mahu kerajaan negeri menyiasat penjualan tanah rizab jalan kepada individu untuk membina bangunan komersial di Taman Sinar Terang, dekat sini.

Pengusaha restoran, Yeow Guang Cheng, 43, mendakwa bekas pegawai Pejabat Tanah Sepang dipercayai terlibat dalam pertukaran lapan lot tanah rizab kepada tanah hak milik persendirian dan dijual kepada individu untuk mengaut keuntungan.

Beliau mendakwa tanah rizab jalan seluas 446 meter persegi di depan restoran beliau itu telah dijual dengan harga RM80,000 baru-baru ini untuk membina bangunan.

“Pejabat Daerah Sepang pada tahun 1983 telah merizabkan tanah seluas 20 kaki di depan lot itu sebagai tanah rizab jalan. Kami hairan kenapa tanah rizab jalan ini boleh ditukar milik dan dijual kepada individu lain.

"Kalau bangunan dibina, ia akan menutup sebahagian jalan. Jalan tersebut akan menjadi sempit dan ini akan mengancam keselamatan pengguna jalan di sini," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Jalan tersebut merupakan jalan alternatif dari Sg. Pelek ke Ulu Chuhu, di sini.

Yeow mendakwa satu daripada lapan lot tanah itu telah dijual manakala tujuh lot lagi telah diberi geran baru, baru-baru ini.

Beliau yang sudah berniaga di tempat tersebut selama 30 tahun berkata penduduk kampung telah membuat aduan dan meminta Ahli Majlis Perbandaran Sepang untuk campur tangan tetapi sehingga kini tidak dilayan.

"Penduduk kampung yang tidak puas hati telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Kong Hong Ching, 51, risau pembinaan bangunan di tanah rizab jalan akan membahayakan penduduk yang menggunakan jalan tersebut untuk ke tempat kerja dan sekolah yang terletak berhampiran.

"Jalan akan menjadi sempit dan sesak apabila pembinaan bangunan di sini," tambahnya. BERNAMA

Artikel Lain