suria

JPJ Pahang Beri Taklimat AES Di Seluruh Negeri

KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang akan mengadakan sesi taklimat mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di semua daerah di negeri ini bagi memberi pemahaman mendalam kepada orang ramai mengenai pelaksanaan sistem tersebut.

Pengarah JPJ negeri, Datuk Zakaria Man berkata sesi taklimat itu amat perlu dibuat memandangkan terlalu banyak tanggapan negatif tentang AES sebelum ini.

"Dengan adanya sesi taklimat di seluruh negeri, saya yakin orang ramai dapat memahami pentingnya AES, sekaligus menerima pelaksanaannya dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat pelaksanaan AES pertama di sini, Jumaat.

Zakaria berkata pihaknya mengenal pasti 59 lokasi pemasangan AES di Pahang, iaitu tujuh pada lokasi lampu isyarat dan 52 bagi had laju.

Katanya, antara lokasi tersebut ialah di KM 50 Jalan Kuantan-Kemaman, KM 28 Jalan Temerloh-Bahau, KM 345 Jalan Raub-Kuala Lipis, KM 35 Jalan Lipis-Merapoh dan KM 99 Jalan Kuantan-Segamat.

Beliau berkata lokasi lain ialah KM 113 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, KM 3 Jalan Kuantan-Maran, KM 60 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Jalan Karak ke Kuala Pilah dan Jalan Perkampungan Felda Triang 1.

Menurut Zakaria, unit AES terbabit bagaimanapun akan dialih ke lokasi lain jika kadar kemalangan di kawasan asal sudah terkawal, bergantung pada keputusan atau arahan Institusi Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Pada sesi taklimat hari ini, seramai 150 peserta terdiri daripada wakil-wakil kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan hadir memberi pendapat dan respons mengenai pelaksanaan sistem tersebut. -BERNAMA

Artikel Lain