suria

161 Rumah Di Telupid Bakal Nikmati Bekalan Elektrik Tahun Depan

KOTA KINABALU: Sebanyak 161 buah rumah di sekitar Telupid dekat sini dijangka menikmati bekalan elektrik mencukupi di bawah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) selewat-lewatnya pada Ogos tahun depan.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Ahmad Fuad Md Kasim berkata projek itu dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negeri Sabah bagi kawasan yang masih belum mempunyai bekalan elektrik.

"Bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik, kajian terperinci dan menyeluruh perlu dibuat termasuklah reka bentuk sistem pembekalan elektrik ke kawasan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Ahmad Fuad berkata pelaksanaan projek itu adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Sebelum ini SESB melaporkan projek itu melibatkan Kampung Baba, Kampung Ansuan dan Kampung Buis Kiabau Seberang yang dicadangkan di bawah pelaksanaan Pelan Pusingan kedua BELB bagi tahun ini, di bawah Rancangan Malaysia Ke-10. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain