suria

10 Kaki Judi Ditangkap Di Kuantan

KUANTAN: Seramai 10 kaki judi termasuk seorang wanita ditahan dalam Ops Dadu di dua buah kafe siber pada Selasa.

Polis turut merampas 70 buah set komputer bernilai RM70,000 dan wang tunai bernilai RM557 sementara dua bilah pedang turut ditemui di salah sebuah premis berkenaan.

Ketua Operasi, ASP Abd Halim Hamat berkata serbuan pertama dilakukan di Jalan Air Putih kira-kira jam 5.50 petang di mana polis menahan empat lelaki termasuk penjaga premis berusia lingkungan 20-an.

"Premis dua tingkat itu kelihatan sedikit mewah dengan susun atur meja yang moden dan bersih selain turut menawarkan cabutan bertuah bernilai RM20,000 bagi hadiah utama," katanya kepada pemberita.

Belau berkata 36 set komputer bernilai RM36,000 dan wang tunai sebanyak RM207 dirampas di premis berkenaan.

Sementara itu di premis di Jalan Beserah, 34 set komputer bernilai RM34,000 dan wang tunai sebanyak RM350 juga dirampas selain enam kaki judi yang berumur 20 hingga 30-an termasuk seorang wanita berusia 21 tahun ditahan.

Abd Halim berkata kedua-dua premis tersebut tidak mempunyai lesen dan dipercayai baru beroperasi.

Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga 10 Dis lalu, 6,423 set komputer judi bernilai RM6.4 juta dirampas dalam 557 serbuan.

Polis juga merampas wang tunai bernilai RM185,681 dan menahan 2,382 kaki judi dan setakat ini sebanyak 35 kes telah dituduh di mahkamah dan 14 kes telah dijatuhkan hukum. BERNAMA

Artikel Lain