suria

15 Warga Emas Kerugian Lebih RM50,000 Ditipu Sindiket Gores Dan Menang

KUALA TERENGGANU: Sejumlah 15 orang warga emas mengalami kerugian lebih RM50,000 setelah ditipu oleh sindiket gores dan menang sepanjang bulan lepas.

Timbalan Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu Ab Ghani Harun berkata mangsa mengalami kerugian antara RM3,000 dan RM16,000 seorang.

Berikutan aduan itu, pihaknya menahan tiga orang dalam satu operasi terhadap syarikat terbabit di Jalan Bukit Kecil di sini bulan lepas dan merampas sejumlah barangan bernilai lebih RM2,800, katanya pada sidang media di sini Isnin.

Beliau berkata mangsa diumpan dengan pelbagai hadiah menarik melalui katalog yang ditunjukkan kepada mangsa seperti kereta, percutian ke luar negara dan menunaikan umrah.

Ab Ghani berkata ejen syarikat itu malah sanggup menemani mangsa ke bank atau Tabung Haji untuk mengeluarkan wang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20 (b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dikenakan denda RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kedua, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain