suria

YTAR Belanja RM3.8 Juta Untuk Bantu Pelajar Teruskan Pengajian

Khaled bersama para pelajar yang menerima pelbagai jenis bantuan kewangan daripada YTAR selepas majlis penyampaian bantuan itu di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Putrajaya, Jumaat. Khaled turut menyampaikan bantuan Siswa Tunku Abdul Rahman 2012 kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) sebanyak RM488,500. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) membelanjakan tidak kurang daripada RM3.8 juta tahun ini sebagai bantuan kewangan dalam pelbagai bentuk kepada lebih 600 pelajar bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian di peringkat tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini termasuk enam pelajar yang terpilih menerima Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR) yang merangkumi elaun bulanan RM1,000, pembiayaan yuran pengajian dan pembiayaan bagi mengikuti pelbagai program serta seminar.

"Dalam usaha untuk menjadikan BTAR ini benar-benar berprestij dan eksklusif, mulai tahun ini penerima wajib mengekalkan tahap pencapaian akademik minimum Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 berbanding sebelum ini hanya 3.5," katanya pada majlis penyampaian bantuan tersebut di kementerian itu di sini, Jumaat.

Dalam sidang berita selepas itu, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YTAR berkata daripada 800 permohonan yang diterima, hanya 300 yang terpilih untuk sesi pemilihan di mana hanya enam pelajar yang layak menerima biasiswa itu.

Bagaimanapun beliau berkata pada tahun ini YTAR turut memperkenalkan Pemberian Pengajian Tunku Abdul Rahman (PPTAR) yang dibuka kepada semua calon BTAR yang telah mengikuti sesi pemilihan tersebut namun tidak berjaya, menyedari ada antara mereka yang mempunyai potensi tinggi namun tidak mampu mencapai kelayakan yang ditetapkan untuk mendapatkan biasiswa tersebut.

Beliau berkata seramai 39 pelajar dianugerahkan PPTAR pada tahun ini, yang akan menerima elaun bulanan sebanyak RM600 dan pembiayaan yuran pengajian, namun disyaratkan mengekalkan pencapaian akademik minimum PNGK 3.5 sepanjang tempoh pengajian.

Mohamed Khaled berkata pada tahun ini juga seramai 20 pelajar peringkat pengajian sarjana muda dari setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan yang berasal daripada keluarga miskin diberi bantuan RM300 sebulan untuk 10 bulan, melalui BPTAR.

Beliau berkata selain itu YTAR membelanjakan sebanyak RM488,500 untuk membantu graduan cemerlang yang berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan, dengan membayar balik sebahagian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka melalui Bantuan Siswa Tunku Abdul Rahman (BSTAR).

Seramai 124 graduan ijazah pertama terpilih untuk menerima bantuan itu, di mana mereka menerima pembiayaan sebanyak RM3,500-RM4,000 setiap seorang, katanya.

Mohamed Khaled berkata pemberian itu akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang, dengan jumlah pemberian bergantung kepada peruntukan yang ada.

YTAR ditubuhkan pada 1966 untuk memberi pinjaman kepada pelajar yang berkelayakan dan memerlukan bagi mengikuti pengajian di peringkat tinggi, dengan jumlah pinjaman sebanyak RM20 juta kepada 1,542 pelajar.

Skim pinjaman tersebut bagaimanapun dihentikan pada 2006 setelah kewujudan PTPTN, namun diteruskan dengan pemberian BTAR dengan jumlah keseluruhan penerima setakat ini seramai 181 orang, termasuk enam orang untuk tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain