KUALA LUMPUR: Kira-kira 27,000 beg tiruan bernilai kira-kira RM540,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur hari ini dari dua buah premis di Jalan 12/10, Taman Koperasi Polis Fasa Satu, Gombak di sini.
Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur, Abu Samah Shabudin berkata kebanyakan beg tiruan yang dirampas dalam operasi tiga jam yang bermula kira-kira pukul 11 pagi itu melibatkan beg sekolah.
Beliau berkata beg tiruan yang menggunakan jenama terkenal seperti Nike, Adidas dan The North Faces dipercayai diimport dari China dan dibawa masuk pada 10 Nov.
"Beg tersebut mendapat permintaan ramai sempena sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi," katanya kepada pemberita di lokasi operasi itu.
Abu Samah berkata siasatan awal mendapati beg yang dirampas itu adalah untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang untuk dijual pada harga RM20 seunit.
Bagaimanapun, katanya, tiada tangkapan dibuat kerana pemilik premis berkenaan tiada ketika operasi dijalankan dan kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011.
"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi satu beg atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi kesalahan individu dan bagi sebuah syarikat pula, boleh didenda tidak melebihi RM500,000," katanya. - BERNAMA


