suria

Dua Anggota Polis Bebas Daripada Tuduhan Jenayah Kekerasan Terhadap Jurugambar

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis pada Jumaat dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Magistret daripada pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang jurugambar semasa perhimpunan Bersih 3.0, pada 28 April lepas.

Majistret Nurulain Abdul Rahim dalam penghakimannya berkata setelah menimbangkan secara maksimum keterangan daripada saksi-saksi yang dipanggil, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap Lans Koperal Mohd Khairul Asri Mohd Sobri, 30, dan Konstabel Shahrul Niza Abd Jalil, 24.

Beliau berkata pihak pendakwaan juga gagal memenuhi segala kehendak Seksyen 352 Kanun Keseksaan untuk mahkamah memanggil kedua-dua tertuduh membela diri masing-masing.

Majistret Nurulain menegaskan mahkamah terpaksa melepaskan dan membebaskan tertuduh kerana saksi-saksi dalam kes ini gagal mengecam orang yang dikatakan telah melakukan jenayah kekerasan terhadap pengadu, jurugambar Guang Ming Daily, Wong Onn King.

Selain Wong, pihak pendakwaan telah memanggil empat saksi yang lain, termasuk dua jurugambar lain yang dikatakan telah menyaksikan kejadian tersebut.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Wong, 33, di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja antara pukul 5.20 petang dan 5.30 petang.

Mohd Khairul Asri, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanjung Malim, Perak manakala Shahrul Niza, dari IPD Dang Wangi, didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh manakala Mohd Khairul dan Shahrul Niza diwakili Salim Bashir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pinggirkan Kaum Lain

Artikel Berikut

Artikel Lain