suria

Pemborong Perkakas Dapur Rugi RM2 Juta Premis Dijilat Api

KUALA LUMPUR: Seorang pemborong perkakas dapur hanya mampu berdiri kaku melihat tiga daripada empat tingkat premis perniagaannya di Jalan Yew, Pudu di sini musnah dalam kebakaran awal hari Jumaat dengan anggaran kerugian RM2 juta.

Tan Fatt Jue, 72, berkata beliau kehilangan punca pendapatan melalui perniagaan yang diusahakan sejak 30 tahun lepas akibat kebakaran rumah kedai sewanya itu pada 4.10 pagi.

Pelbagai jenis perkakas diperbuat daripada kaca, plastik, PVC dan bahan lain termasuk yang disimpan di bahagian setor, musnah dalam kejadian itu.

"Selepas terima panggilan daripada seorang rakan, saya bergegas ke premis perniagaan dan melihat api sedang marak ketika itu," katanya dengan nada sugul kepada pemberita di tempat kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata bomba menghadapi kesulitan memadamkan kebakaran kerana bahagian tangga di lokasi itu dipenuhi barangan termasuk daripada bahan mudah terbakar.

Beliau berkata tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Pudu, Jalan Tun Razak dan Keramat dengan kekuatan 50 anggota tiba lima minit selepas menerima panggilan kecemasan, dan api berjaya dipadamkan pada 9 pagi.

Azizan berkata berlaku letupan kecil berpunca daripada tong gas kecil yang diguna untuk memasak stimbot.

Menurutnya tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Lain