Anggota Tentera Maut Dipercayai Payung Terjun Tidak Berfungsi - Semasa | mStar

Anggota Tentera Maut Dipercayai Payung Terjun Tidak Berfungsi

IPOH: Seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika sedang membuat latihan penerjunan di kawasan Hutan Simpan Kubu Gajah, Selama Isnin lalu ditemui mati petang Rabu, kira-kira 500 meter dari tempat dia menjalani latihan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Selama, ASP Abdul Ghani Zainun berkata, mayat Koperal Supin Ghani, 37, yang berasal dari Tamparuli, Sabah ditemui di dalam kebun getah pada pukul 4.30 petang oleh anggota keselamatan.

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Selama untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi Rabu.

Mangsa bersama 23 anggota tentera yang lain dilaporkan sedang mengadakan latihan penerjunan bersama pasukan komando peperangan khas dari kem Sungai Udang, Melaka di kawasan hutan simpan itu pada pukul 11.30 malam.

Mereka membuat penerjunan dari pesawat Charlie.

Abdul Ghani berkata, selepas latihan selesai pada awal pagi, mangsa dilaporkan tidak kembali ke kem latihan dan kehilangannya dilaporkan kepada pihak polis tengah hari Selasa.

Polis lalu melancarkan operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, tentera, Rela dan orang ramai.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati payung terjun yang digunakan mangsa dipercayai tidak berfungsi.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain