suria

Tertuduh Kedua Kes Bunuh Sosilawati Merupakan Pelajar Bijak - DPP

SHAH ALAM: Tertuduh kedua dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain merupakan seorang lelaki bijak dan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini.

Bagaimanapun disebabkan faktor kemiskinan, T.Thilaiyalagan terpaksa melupakan hasratnya untuk menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi selepas menamatkan zaman persekolahannya.

Perkara itu dibangkitkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Isham Abd Ghani ketika menyoal balas Thilaiyalagan, 21, di Mahkamah Tinggi di sini Selasa.

"Awak tidak dapat ke kolej sebab tidak mampu dan disebabkan itulah awak bekerja dengan Ravi (tertuduh keempat R.Khatavarayan) dan N.Pathmanabhan (tertuduh pertama)," soal Idham dan tertuduh menjawab setuju.

"Saya cadangkan awak sedang belajar di penjara," kata Idham.

"Ya, pada tahun lepas, kelas komputer," jawab Thilaiyalagan.

Ditanya Idham mengapa dia mengambil kelas komputer, tertuduh menjawab kerana dia telah 'ditawarkan'.

Thilaiyalagan juga mengakui bahawa dia memahami Bahasa Melayu kerana pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan dan bukan sekolah jenis Tamil.

"Saya cadangkan awak berbohong di mahkamah apabila memberitahu sebelum ini awak tidak faham bahasa Melayu," kata Idham dan tertuduh menjawab dia memahami bahasa itu tetapi tidak sepenuhnya.

Thilaiyalagan diperintah membela diri bersama bekas peguam Pathmanabhan, 43, serta pekerja ladang R.Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketika dicadangkan Idham bahawa tertuduh kedua itu mengikut segala arahan Khatavarayan dan Pathmanabhan kerana terhutang budi dengan mereka yang telah memberinya kerja, Thilaiyalagan menjawab tidak setuju.

Tertuduh seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan Idham bahawa Pathmanabhan ada menghubunginya pada 9 Sept 2010 sebelum dia (Thilaiyalagan) ditangkap polis.

Idham kemudian menunjukkan satu rekod panggilan telefon yang mengandungi butiran panggilan yang dibuat dari nombor telefon bimbit Pathmanaban kepada nombor telefon bimbit Thilaiyalagan pada pukul 5.39 petang, 9 September 2010.

"Awak tahu siapa hubungi awak, itu ialah nombor telefon bimbit Pathmanabhan. Panggilan itu dibuat sejurus sebelum awak ditangkap dan dia (Pathmanabhan) hubungi awak kerana awak orang penting yang telah tikam keempat-empat mangsa," kata Idham.

Sambil menggelengkan kepala, Thilaiyalagan menjawab tidak setuju.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain