suria

Bekas Pensyarah KLMU Didakwa Peroleh Rasuah Daripada Penuntut

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pensyarah Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMU) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan memperoleh dan cuba meminta rasuah berhubung memberikan diploma kepada penuntutnya tanpa menghadiri kuliah dan peperiksaan.

Tertuduh Elmy Shadzli Wahi, 40, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi tuduhan pertama, Elmy Shadzli, didakwa memperoleh wang tunai RM1,500 melalui akaun Malayan Banking Berhad daripada penuntut Muhammad Asrull Aizat Solehan sebagai balasan untuk memberikan Muhammad Asrull diploma bidang kulinari daripada kolej itu tanpa menghadiri kuliah dan peperiksaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Dataran Maybank Bangsar No. 1, Jalan Maarof di sini pada 3.30 petang, 13 Julai lepas di sini.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa cuba memperoleh RM1,500 daripada Muhammad Asrull Aizat bagi tujuan yang sama pada 8.30 malam, 16 Julai lalu di Jalan Sri Ehsan 2, Taman Perindustrian Sri Ehsan di sini.

Kedua-dua kesalahan itu, didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dilakukan pegawai pendakwa SPRM, Wan Ahmad Nizam Wan Omar menawarkan jaminan RM6,000 untuk kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kerana menanggung isteri yang mengandung dan tiga orang anak.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 5 Dis untuk sebutan semula kes itu. - BERNAMA

Artikel Lain