suria

UTHM Beri Perhatian Serius Terhadap Pendakwaan Petugasnya

JOHOR BAHARU: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memberi perhatian serius terhadap kes pendakwaan terhadap salah seorang petugasnya di dalam kes rasuah baru-baru ini.

Di dalam kenyataannya pada Isnin, UTHM telah dan akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi berkaitan untuk menjalankan tugas penyiasatan.

"Pihak UTHM juga akan terus bersikap terbuka dalam menghadapi sebarang keputusan yang ditentukan oleh badan kehakiman negara ke atas mana-mana kakitangannya yang didakwa," menurut kenyataan unit perhubungan awam UTHM itu.

Pada 3 Oktober lepas, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Samad, 52, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan rasuah.

Beliau yang tidak mengaku salah didakwa meminta dan menerima rasuah RM15,000 daripada seorang kontraktor, Mohamad Anal Talhah, 41, sekitar Disember 2010.

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam, UTHM menurut unit itu, tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan sentiasa menjunjung etika profesional penjawat awam sepertimana yang digariskan dalam Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605), katanya. -BERNAMA

Artikel Lain