suria

Kerajaan Komited Bendung Masalah Sosial Libat Remaja Melalui Pelbagai Program - Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited membendung masalah sosial terutama melibatkan remaja seperti ketagihan dadah, alkohol, perjudian haram dan jenayah siber melalui pelbagai program antaranya dalam bentuk kaunseling, perlindungan serta pemulihan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata gejala-gejala itu perlu dibendung demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata antara langkah yang diambil adalah penubuhan Kuala Lumpur 'Krash Pad' (KLKP) di kawasan Chow Kit yang berfungsi sebagai tempat selamat kepada remaja di kawasan berkenaan.

"KLKP ditubuhkan bagi remaja berumur antara 13 hingga 21 tahun dan selain sebagai tempat selamat, KLKP turut berfungsi sebagai tempat remaja terbabit mendapatkan bimbingan dan didikan melalui tuisyen, kelas komputer, sesi kaunseling, kelas kebudayaan serta kelas muzik.

"Buat masa ini terdapat 373 remaja telah berdaftar dengan KLKP," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Billy Abbit Joo (BN-Hulu Rajang) di Dewan Rakyat, Khamis.

Billy ingin tahu berhubung langkah-langkah yang sedang diambil oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat(KPWKM) untuk menangani masalah ketagihan dadah, alkohol serta gejala sosial yang lain seperti perjudian haram dan jenayah siber terutama di kalangan muda-mudi di Malaysia.

Najib, yang memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata langkah lain ialah seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan perkhidmatan dalam bentuk institusi perlindungan dan pemulihan khusus bagi remaja yang terlibat dengan masalah sosial.

Beliau berkata JKM pada masa ini mempunyai sembilan buah Sekolah Tunas Bakti, 11 buah asrama akhlak dan empat buah Taman Seri Puteri bagi remaja atau kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun yang terbabit dengan jenayah.

"JKM juga telah menubuhkan 142 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di kawasan berisiko seluruh negara bagi memberikan perkhidmatan kepada mereka yang berumur di bawah 18 tahun bagi mengelakkan mereka terlibat dengan masalah sosial.

"PAKK ini dipantau oleh 131 Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak yang mana keanggotaannya terdiri daripada kakitangan agensi-agensi kerajaan seperti JKM, polis, Jabatan Kesihatan serta pemimpin masyarakat setempat," kata Najib.

Najib berkata sebuah lagi agensi di bawah kementerian iaitu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut melaksanakan pelbagai program dan kursus untuk membendung masalah sosial dalam kalangan remaja.

Beliau berkata antara program tersebut adalah program Kaunseling Keluarga, Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) serta Kafe@TEEN dan Ilmu Keluarga@LPPKN.

"Program-program ini merupakan usaha pihak kementerian untuk mengukuhkan institusi keluarga serta mendidik ahli keluarga agar lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan peranan mereka sebagai ibu bapa dan anak-anak," katanya.

Najib berkata program itu secara tidak langsung dapat membantu menghindarkan remaja daripada terjebak dalam masalah sosial.

Perdana Menteri berkata kerajaan turut memperkenal program Pencegahan Jenayah Sekata (Keselamatan Keluarga Tanggungjawab Kita) yang bertujuan melaksanakan kursus keibubapaan anak remaja dan pendidikan kesihatan reproduktif remaja kepada komuniti setempat.

"Penganjurannya adalah dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan program ini merupakan salah satu usaha untuk mencegah masalah sosial," jelas beliau. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain