suria

14 Pati Ditahan Polis Marin

SANDAKAN: Polis Marin berjaya menggagalkan cubaan 14 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) masuk ke negara ini apabila mereka ditahan dalam dua operasi berasingan di sini Selasa.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Abdul Manaf Othman berkata, Pati yang ditahan itu kesemuanya warga Filipina yang terdiri tujuh lelaki dan tujuh wanita berusia antara 17 hingga 48 tahun.

Katanya, 11 orang daripada mereka iaitu tujuh wanita dan empat lelaki berjaya ditangkap selepas anggota risikan Marin menahan sebuah kenderaaan pacuan empat roda di kawasan Industrial Light Jalan Kampung Sentosa Batu 3 pada pukul 8 malam.

"Mereka dipercayai baru mendarat di sini dan hendak dihantar ke satu lokasi oleh pihak yang menguruskan perjalanan mereka masuk secara haram ke negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Menurutnya, pemandu kenderaan itu seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun dan kelindannya, seorang lelaki warga Filipina berusia 39 tahun turut ditahan dalam operasi itu.

Abdul Manaf berkata, dalam operasi kedua kira-kira pukul 10.30 malam di Kuala Sungai Batu 3 dekat sini, tiga lagi Pati, kesemuanya lelaki berjaya ditangkap selepas bot laju yang membawa mereka berjaya ditahan.

Katanya, juragan bot itu berjaya melarikan diri selepas bot itu terkandas di kawasan cetek ketika dikejar bot anggota Polis Marin dan mereka dipercayai menuju ke kawasan pendaratan selepas baru sahaja memasuki negara ini.

Beliau berkata, kesemua PATI itu ditahan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen yang sah, manakala pemandu kenderaan bersama kelindannya itu disiasat di bawah Seksyen 55A(1) akta yang sama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain