suria

Plus Kenal Pasti Tambah R&R

BUKIT GANTANG: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) sedang mengenal pasti lokasi sesuai menambah bilangan kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi memenuhi keperluan pengguna lebuh raya yang semakin meningkat.

Pengarah Urusan dan Ketua Pengawai Eksekutif Plus, Datuk Noorizah Abdul Hamid berkata kesemua 24 R&R sedia ada milik PLUS tidak lagi dapat menampung jumlah pengguna lebuh raya terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.

Beliau berkata ketika ini, bilangan pengguna Lebuhraya Plus adalah 1.1 juta sehari dan jumlah itu meningkat kepada 1.4 juta pada musim perayaan dan cuti sekolah.

"Pada masa ini kita masih mengkaji lokasi strategik membina R&R yang baru dan kita juga akan menaik taraf R&R sedia ada secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah R&R Berhias dan Kereta Merdeka Terbaik di Hentian Sebelah Bukit Gantang (arah Selatan) di sini, Ahad.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor sebelum ini, dilaporkan meminta Plus mengenal pasti kawasan baharu sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan untuk diwujudkan kawasan R&R bagi menampung penambahan trafik yang menggunakan lebuh raya tersebut.

Noorizah berkata proses pembinaan R&R bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan kerana selain kos yang tinggi, ia turut melibatkan pengambilan tanah.

"Keluasan kawasan yang diperlukan membina sebuah R&R yang selesa ialah kira-kira lapan hektar," katanya.

Beliau berkata pembinaan sebuah R&R akan melibatkan kos antara RM15 juta dan RM20 juta.

Noorizah berkata jarak ideal antara sebuah R&R dan R&R yang lain adalah antara 50km dan 60km.

"Ketika ini, sebagai contoh dari R&R Rawang ke R&R Tapah jaraknya ialah 110km," katanya.

Beliau berkata Plus komited menyediakan perkhidmatan yang baik kepada pengguna lebuh raya dan memastikan R&R menjadi tempat paling selesa untuk berehat.

Sementara itu, R&R Bukit Gantang (arah Selatan) Lebuhraya Utara-Selatan muncul juara Pertandingan Kawasan Rehat Berhias Terbaik. BERNAMA

Artikel Lain