suria

ATM Terus Memacu Ke Hadapan Dalam Transformasi Pertahanan Negara

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus gigih memacu kehadapan dalam transformasi meningkatkan pertahanan negara menerusi 'Dimensi Keempat Angkatan Tentera Malaysia' (4DMAF) yang menuntut ATM mengukuhkan pertahanan ruang angkasa dan siber.

Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain berkata transformasi yang dilakukan oleh ATM pada era keempat pada kali ini adalah berdasarkan kepada perubahan landskap di peringkat global.

Beliau berkata ATM melalui 4DMAF telah merangka beberapa transformasi yang telah dimulakan pada tahun 2010 hingga 2020 yang mana lebih memfokuskan kepada pembangunan keselamatan ruang siber yang telah dirancang sejak era ketiga lagi iaitu dari tahun 2000 hingga 2010.

"Apa yang dimaksudkan dengan ruang siber ialah satu dimensi pertahanan baru yang perlu kita terokai. ATM perlu mempunyai keupayaan yang cukup untuk menangani ancaman-ancaman yang melibatkan ruang siber.

"Kita perlu menjadikan pertahanan ruang siber sebagai satu kelebihan kepada kita untuk menghadapi sebarang ancaman," katanya ketika ditemuramah Bernama sempena sambutan Hari Angkatan Tentera ke-79 Ahad ini.

Beliau berkata sejak ditubuhkan 79 tahun lalu, ATM telah melalui fasa satu iaitu dari tahun 1993 hingga 1989 di mana ATM lebih memfokuskan kepada ancaman dalam negeri terutamanya dalam membasmi pengganas komunis sebelum melakukan transformasi kedua pada tahun 1990 hingga 2000 yang lebih memfokuskan kepada ancaman luar.

Katanya selepas berjaya menghadapi ancaman komunis pada era pertama, ATM telah melakukan perubahan iaitu dengan menjadi sebuah angkatan tentera konvensional yang lebih memfokuskan kepada ancaman luar.

"Kita telah menyusun sebuah angkatan tentera selama satu dekad pada era kedua itu untuk menjadi sebuah angkatan konvensional yang memfokuskan kepada ancaman luar. Kita lihat semula prinsip latihan yang kita gunakan dari segi pembelian dan pemilikan aset pada era tersebut. Semua kita atur secara strategik bagi menjadi sebuah angkatan tentera yang mantap," katanya.

Zulkifeli berkata pada era ketiga iaitu dari tahun 2000 hingga 2010, ATM telah melakukan pemodenan secara besar-besaran dari segi perolehan aset dalam meningkatkan pertahanan dengan memiliki aset yang lebih canggih seperti pemilikan dua kapal selam Scorpene iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak.

Beliau berkata dalam era ketiga, ATM telah membawa aset-aset yang lebih canggih bertujuan melengkapkan pertahanan negara dengan menguatkan pertahanan di bawah permukaan laut, daratan dan ruang angkasa.

"Tiga pemodenan yang kita lakukan ini ialah bertujuan memantapkan ketiga-tiga pertahanan kita di mana kita memfokuskan kepada prinsip latihan dan strategi yang kita gunakan. Seterusnya kita telah membuat satu kajian melalui tiga era ini dan membuat satu transformasi baru yang lebih dinamik pada era keempat," katanya.

Beliau berkata dalam memantapkan sistem pertahanan ruang siber, ATM telah membangunkan satu rangkaian keupayaan iaitu Network Centric Operations (NCO) yang masih dalam pembangunan bertujuan mewujudkan satu keupayaan siber dan memantapkan kapabiliti ATM dalam pertahanan ruang siber.

Katanya NCO yang dibangunkan dalam era keempat ini dijangka dapat beroperasi sepenuhnya selepas tahun 2020 kerana ia memakan masa yang lama untuk dibangunkan membabitkan pembangunan ruang siber secara menyeluruh dan pengoperasian satelit.

"Saya rasa transformasi yang kita lakukan ini (NCO) mungkin akan melewati tahun 2020 kerana ia membabitkan beberapa faktor terutamanya sistem ini merupakan satu rangkaian pertahanan kita dalam melakukan keputusan dari segi bidang pertempuran dan persenjataan," katanya.

Justeru dengan adanya sistem NCO yang sedang dibangunkan oleh ATM, maka sudah semestinya satu rangkaian pertahanan yang mantap dapat diwujudkan dalam semua aspek, tambahnya.

"Saya yakin dengan program yang kita bangunkan ini (NCO), ATM mampu menjadi sebuah angkatan yang kredibel, kerana NCO merupakan satu program jangka masa panjang yang mampu membawa satu era baru dalam teknologi pertahanan negara," katanya.

NCO yang telah dirancang pada era ketiga telah mendapat kerjasama dari pemain industri pertahanan yang mana keupayaan dan kemampuaannya telah dibangunkan secara bersama oleh universiti tempatan yang melakukan kajian dan penyelidikan serta kerjasama dari Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos).

Zulkifeli menambah selain itu, ATM turut melakukan kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta beberapa agensi lain dan menghantar pegawai-pegawai yang berkemampuan untuk berkursus di luar negara bagi mendalami teknologi negara luar dalam membangunkan pertahanan siber.

"Kita ada bekerjasama dengan beberapa universiti penyelidikan dan kita turut melakukan kerjasama dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi membangunkan keupayaan kita dalam program NCO ini," katanya.

Menyentuh mengenai pengurangan bajet pertahanan dalam era pada kali ini, Zulkifeli berkata ia tidak menjadi satu masalah besar kepada ATM kerana ATM sentiasa mempunyai strategi yang lain dalam meningkatkan keupayaan pertahanan negara.

"Kita ada cara dalam meningkatkan keupayaan kita sekiranya pengurangan bajet pertahanan dilakukan, kita ada cara lain iaitu kaedah 'man, machine dan method' yang bermaksud sistem tiga segi yang saling berkaitan. Tiada guna sekiranya kita mempunyai kekuatan dari segi aset tetapi prinsip latihan kita dan semangat anggota tentera kita berada di tahap yang kurang memberangsangkan," katanya.

Oleh yang demikian, langkah ATM membangunkan pertahanan ruang siber pada transformasi keempat pada kali ini dilihat tepat pada masanya dalam keadaan teknologi yang serba canggih pada hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain