suria

Umno Bahagian Digesa Pastikan 500,000 Anggota Umno Daftar Undi - Shafie

LARUT: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa Umno bahagian mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan 500,000 anggotanya yang layak mengundi mendaftar sebagai pengundi sebelum pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, Umno daripada pucuk pimpinan sehingga ke peringkat akar umbi perlu menggembleng tenaga menambah jumlah pengundi sedia ada bagi memberi kekuatan kepada perjuangan parti itu.

"Kita masih mempunyai 500,000 anggota Umno yang tidak daftar menjadi pengundi. Tahun ini, kita laksana BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan kita mempunyai dua juta penerima dan seramai 31,000 daripadanya yang merupakan anggota Umno tidak mendaftar sebagai pengundi.

"Saya lihat pada pilihan raya akan datang kita perlu meningkatkan keupayaan gerakan parti mengenal pasti anggota-anggota itu dan mendaftarkan mereka menjadi pengundi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Larut di sini, Sabtu.

Turut hadir, Anggota Parlimen Larut Datuk Hamzah Zainuddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat, bahawa pihak dalam Umno yang cuba mensabotaj parti akan dipecat, Mohd Shafie berkata ia perlu bagi memastikan anggota Umno berdisiplin.

"Ini penting bagi memastikan anggota parti bukan hanya pada nama menjadi ahli tetapi bila pilihan raya, tidak undi parti. Mungkin mereka buat sedemikian kerana tidak dapat jawatan.

"Kalau ia satu tindak-tanduk yang dilakukan ahli parti yang boleh menjejaskan masa depan parti, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka kerana ketidakseimbangan dan kecelaruan yang dilakukan mereka itu tidak menjurus kepada kekuatan parti," katanya.

Mengenai Umno Bahagian Larut, Mohd Shafie berkata, semangat yang ditunjukkan pimpinan di peringkat bahagian itu memberi kekuatan kepada parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Kita memerlukan persefahaman, perpaduan dalam perjuangan ini yang memungkinkan kejayaan bukan hanya mengekalkan kawasan Parlimen malah Dewan Undangan Negeri.

"Saya berharap ia akan menjadi ikutan Umno bahagian lain di Perak dalam memastikan bukan setakat kawasan Parlimen kita boleh menang tetapi kita boleh mantapkan kerajaan Barisan Nasional di peringkat negeri Perak," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain