suria

Polis Temui Sepucuk Pistol, 31 Butir Peluru Di Tapak Pembinaan Di Lumut

IPOH: Polis menemui sepucuk pistol bersama 31 butir peluru dalam satu plastik hitam di tapak pembinaan Venice Raya di Lumut pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata penemuan pistol itu adalah hasil maklumat daripada orang awam yang menghubungi polis pada pukul 10.30 pagi Selasa.

"Seorang lelaki menghubungi pihak polis memberitahu terdapat bungkusan yang mencurigakan di tapak pembinaan rumah di Venice Raya dan bertindak di atas maklumat itu polis kemudian pergi ke tempat kejadian dan menjumpai sebuah plastik hitam," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati plastik tersebut mengandungi sepucuk pistol semi auto jenama Norinco MOD.213B 9MM buatan China, bersama satu kelopak kosong serta 31 butir peluru saiz 9mm.

Dzuraidi berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 40 Akta Senjata 1960.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai senjata tersebut untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di talian 05-6835222 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Roslan Mohd Suki di talian 013-2277550. -BERNAMA

Artikel Lain