suria

Perkhidmatan Permohonan Visa UK Di Kuching, Kota Kinabalu

KUALA LUMPUR: The United Kingdom (UK) Border Agency memperkenalkan klinik biometrik bergerak di pejabat British Council di Kuching dan Kota Kinabalu untuk memudahkan pemohon visa di Malaysia Timur menyerahkan permohonan mereka dan memberikan maklumat biometrik.

Dalam kenyataan pada Isnin, Suruhanjaya Tinggi Britian berkata perkhidmatan itu diadakan sekali dalam seminggu pagi Sabtu di Kota Kinabalu dan pagi Jumaat di Kuching dari 17 Ogos hingga akhir September.

"Ia akan membabitkan kos tambahan RM600 bagi setiap permohonan termasuk kos menghantar permohonan menerusi kurier ke Kuala Lumpur dan penghantaran ke alamat rumah pemohon sebaik siap diproses," menurutnya.

Mereka yang mahu memanfaatkan kemudahan itu boleh membuat temu janji menerusi laman web pusat permohonan visa di www.vfs-uk-my.com. Pembayaran bagi perkhidmatan khas dan yuran permohonan visa itu perlu dibuat terlebih dahulu di cawangan Alliance Bank.

Menurut kenyataan itu, penduduk di Malaysia Timur masih mempunyai pilihan untuk menyerahkan permohonan mereka dan memberikan data biometrik di pusat permohonan visa di Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Lain