suria

Wanita Thailand Ditahan Seludup Dadah Bernilai RM700,000

ALOR SETAR: Seorang suri rumah warganegara Thailand ditahan Kastam Diraja Malaysia cawangan Kedah kerana cuba menyeludup dadah dipercayai jenis syabu di laluan bas dan pejalan kaki Kompleks Imigresen, Bukit Kayu Hitam, Jumaat lepas.

Pengarah Kastam Negeri Kedah Datuk Abd Aziz Abdul Latif berkata pemeriksaan awal mendapati empat bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi hablur kristal putih disyaki dadah jenis syabu tersorok pada dasar beg yang dibawanya.

"Suspek menaiki bas dari Hatyai dipercayai dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan semasa imbasan beg di Kompleks Imigresen, didapati ada sesuatu pada dasar beg dan apabila diperiksa ia adalah dadah," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati suspek yang mempunyai dua anak itu tiada rekod kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

"Suspek yang berumur 33 tahun kini ditahan reman untuk siasatan selanjutnya," katanya. Dalam perkembangan lain, Kastam Kedah merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM3,330 dalam Ops Ramadan yang bermula 1 Ogos lalu.

Abd Aziz berkata jumlah itu melibatkan tujuh kes iaitu empat di bazar Ramadan sekitar Sungai Petani manakala selebihnya di Alor Setar.

"Di Alor Setar, kita turut menahan seorang lelaki rakyat tempatan berumur 40-an kerana menjual mercun manakala di Sungai Petani tiada tangkapan dibuat kerana semua suspek dapat melarikan diri," katanya.

Beliau berkata Ops Ramadan yang dilakukan oleh pihaknya itu bukan sahaja tertumpu di bazar Ramadan, sebaliknya operasi turut dilakukan di premis-premis perniagaan. "Mereka yang menjual mercun ini berniaga secara kecil-kecilan dengan bermodalkan kira-kira RM400 dan tidak mempunyai permit menjual mercun dan perlu mematuhi jenis mercun yang dibenarkan oleh polis," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain