suria

Mekanik Didenda RM2,000 Miliki Senjata Berbahaya, Gagal Tunjuk Kad Pengenalan

KUALA LUMPUR: Seorang mekanik didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki senjata berbahaya dan gagal menunjukkan kad pengenalan, minggu lepas.

Majistret Azmil Muntapha Abas turut memerintahkan Mohamad Audadi Mad Sarmor, 24, menjalani hukuman sebulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Mohamad Audadi didenda RM1,000 atau sebulan penjara bagi pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu satu buku lima besi di hadapan Hotel GEA, Jalan Hang Kasturi, Dang Wangi pada 2.20 pagi, 27 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan.

Dia juga didenda RM1,000 atau sebulan penjara bagi pertuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan kepada anggota polis semasa pemeriksaan, pada masa, tarikh dan tempat sama.

Bagi kesalahan itu, Mohamad Audadi yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman.

Di mahkamah sama, seorang pekerja pemasangan wayar sistem parkir mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memecah makmal sekolah rendah dan mencuri projektor, empat tahun lepas.

Johan Afandi, 28, didakwa memecah makmal sekolah dan mencuri projektor jenis Epson 730 bernilai RM600 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil, Jalan Fletcher, Sentul di sini pada 10 Ogos 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.

Terdahulu, Zuraimi menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai lima anak termasuk bayi berusia dua minggu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Sept untuk sebutan. - BERNAMA

Artikel Lain