suria

Masalah Kekurangan Pelajar Di SJKT Perlu Diatasi - Muhyiddin

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemimpin masyarakat India perlu berbincang dengan Kementerian Pelajaran dalam mengatasi masalah kekurangan pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJKT).

Beliau berkata pada masa ini terdapat banyak sekolah SJKT yang hanya mempunyai 10 pelajar sahaja yang mendaftar daripada 100 pelajar yang sepatutnya, walaupun jumlah guru memenuhi syarat seramai tujuh orang.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan prihatin dengan perkara itu dan mahu supaya kelangsungan SJKT dapat diteruskan selain mutu pendidikannya dipertingkat.

Pembangunan sekolah-sekolah jenis kebangsaan turut dititikberatkan di bawah kajian semula sistem pendidkan negara yang sedang dijalankan, katanya semasa merasmikan blok bangunan tiga tingkat bernilai RM3 juta SJKT Vivekananda di sini Khamis.

Muhyiddin berkata walaupun sebahagian besar tanggungjawab pembangunan pendidikan berkualiti adalah komitmen kerajaan, semua pihak juga harus memainkan peranan untuk memastikan pembangunan pendidikan di negara ini dipertingkat dan setaraf dengan negara-negara maju.

Muhyiddin berkata Malaysia kini hampir mencapai universalisme dalam pendidikan dan beliau menyedari bahawa tuntutan yang paling penting oleh semua pihak ialah memastikan setiap anak-anak di negara ini mendapat pendidikan yang berkualiti.

Pada majlis itu, beliau turut meluluskan peruntukan dana sebanyak RM6 juta untuk menaik taraf tiga buah sekolah di bawah Vivekananda Ashrama, iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vivekananda di Petaling Jaya dan Brickfields dan Sekolah Menengah Kebangsaan Vivekananda di Brickfields seperti yang dipohon oleh badan itu.

Muhyiddin juga turut meluluskan pemohonan lembaga pengurus sekolah itu untuk mewujudkan sebuah kelas Tingkatan 6 di SMK Vivekanda sekiranya memenuhi syarat.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang turut hadir pada majlis itu memberitahu pemberita kebanyakan sekolah yang mempunyai jumlah pelajar yang sedikit terletak di kawasan ladang yang dibina sejak zaman penjajah bagi memenuhi keperluan masyarakat India pada masa itu, tetapi sekarang ramai masyarakat India telah berpindah ke kawasan bandar.

"Jadi masalah utama kita sekarang dalam hal ini ialah mencari tanah di kawasan bandar dan dana untuk membolehkan sekolah-sekolah terlibat dipindah ke kawasan bandar," katanya.

Dr Subramaniam berkata pada masa ini sebanyak 265 daripada 530 SJKT di seluruh negara mempunyai jumlah pelajar kurang daripada 150 orang dan daripada 295 sekolah tersebut, 69 sekolah mempunyai pelajar kurang daripada 25 orang.

"Kita mahu memberi fokus untuk selesaikan masalah di 69 buah sekolah ini dulu," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden MIC yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk G. Palanivel dan pengerusi SJKT Vivekananda Petaling Jaya Tan Sri Dr Ampikaipakan Kandiah.- BERNAMA

Artikel Lain