suria

Aspek Mampan Perlu Diambil Kira Dalam Setiap Program - PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu, mengetengahkan beberapa pendekatan yang perlu diberi tumpuan dalam menjayakan sebuah pentadbiran yang baik.

Menurutnya dalam pelaksanaan apa jua program, soal utama yang perlu diambil kira ialah dari segi mampan, dengan matlamat dari segi ekonomi ialah supaya ia terus berkembang, dan dari aspek negara, hasil negara dapat meningkat secara berterusan.

Beliau berkata dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan hasil negara yang bertambah, sebahagian darinya memang seharusnya diagih kepada sektor sosial dan kebajikan, sekaligus membolehkan mereka yang memerlukan bantuan mendapat sumber kewangan yang mampan.

Katanya keadaan ini berbeza dengan model negara-negara sosialis contohnya, yang banyak menekankan kepada pengagihan buat rakyat, tanpa memikirkan cara untuk membangunkan sumber kewangan atau ekonomi negara secara keseluruhan.

"Begitu juga (keadaannya) jika ada pihak yang cuba menggunakan platform terlalu populis yang menjanjikan segala-galanya kepada rakyat, tetapi tidak langsung membentangkan soal dari mana punca kewangan untuk membiayainya," kata Najib yang baru mengambil alih peranan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat April lepas, semasa berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini.

Najib berkata itu sebabnya kerajaan melancarkan pelbagai program untuk menjana pembangunan negara secara mampan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), yang semuanya disasar untuk perkembangan ekonomi yang berterusan agar punca kewangan yang diperolehi dapat digunakan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Sementara itu, beliau berkata pendekatan lama yang bersifat 'teritorial', yang merujuk kepada kecenderungan menjaga kepentingan serta ruang bidang sendiri sahaja, atau selesa dengan apa yang dilaksanakan setakat keadaan semasa sahaja, juga tidak boleh diterima lagi.

Najib berkata pentadbiran kini perlu berfikir dengan lebih inovatif, kreatif dan berfikiran jauh merentasi sempadan agensi, untuk melahirkan output yang lebih baik.

Menurutnya bagi tujuan itu juga kerajaan melancarkan strategi lautan biru kebangsaaan (NBOS) yang merujuk kepada hubungan kerjasama lebih sepadu antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yayasan, dan agensi atau jabatan dari kementerian yang pelbagai dalam melaksanakan projek-projek pembangunan.

Najib kemudian merujuk kepada 1.6 ha kawasan kediaman Perdana Menteri di Seri Perdana yang diusahakan dengan tanaman 'Rock Melon' oleh sebuah syarikat.

"Jangan fikir Seri Perdana tak keluarkan hasil, ia boleh jana pendapatan. Menerusi empat ekar campur dua ekar yang diusahakan (syarikat berkenaan) di tempat lain, tahun sudah kita dapat raih lebih RM600,000 (melalui tanaman Rock Melon itu), isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) beri kepada persatuan ibu tunggal, tahun ini dia dapat hasil RM550,000, diberi kepada persatuan kanak-kanak autistik.

"Kalau tak ada idea seperti ini, tak ada punca pendapatan, mungkin segala-galanya akan diminta daripada kerajaan," katanya. Perdana Menteri seterusnya meminta penjawat awam supaya lebih banyak turun padang dan melihat sendiri keadaan sebenar sebelum membuat sebarang ketetapan dalam aspek pentadbiran.

"Apa pun dasar peraturan yang kita buat kita mesti sedar bahawa tidak ada dasar 'one size fit all'(satu perkhidmatan untuk semua). Ia perlu berpandukan kepada realiti. Sebab itu perlu tahu keadaan yang sebenarnya," katanya.

"Mungkin yang diputuskan secara umum sesuai untuk ramai, tapi mungkin ada pengecualian yang memerlukan kita membuat penilaian, tidak seharusnya rigid, perlu lebih fleksible," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Lain