suria

LPPPQ Lulus 46 Lesen Untuk Cetak, Terbit Teks Al-Quran Sehingga Mac 2012

KUALA TERENGGANU: Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) Kementerian Dalam Negeri memberi kelulusan sebanyak 46 lesen mencetak dan menerbit teks al-Quran dan 399 perakuan betul pruf akhir teks al-Quran sehingga Mac tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Harussani Zakaria berkata LPPPQ bertanggungjawab dalam menjaga dan mengawal teks serta bahan yang berkaitan dengan ayat suci al-Quran khususnya di negara ini.

"Hal ini amat penting agar ayat-ayat suci al-Quran sentiasa terpelihara daripada sebarang kesilapan dan kesalahan terutamanya dari segi proses percetakan dan penerbitan ayat-ayat al-Quran sama ada di dalam negara mahupun yang diimport," katanya.

Harussani, yang juga Mufti Perak, berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran Kementerian Dalam Negeri, di sini, Isnin.

Beliau berkata dalam melaksanakan Akta Percetakan Teks al-Quran, LPPPQ menerima beberapa aduan berhubung al-Quran, antaranya penyalahgunaan nombor siri kelulusan perakuan betul pruf akhir teks al-Quran yang diberi kepada sesuatu syarikat oleh syarikat yang lain.

"Ada juga aduan berhubung penjualan teks al-Quran yang tidak mempunyai kelulusan LPPPQ yang dibimbangi kandungan ayat-ayat al-Quran di dalamnya mengandungi kesalahan dan kesilapan.

"Kami juga menerima aduan percetakan teks al-Quran oleh syarikat yang tidak mempunyai autoriti untuk berbuat demikian, serta aduan mengenai pelupusan bahan-bahan buangan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang dibuat secara tidak beradab yang menimbulkan kebimbangan dan kemarahan masyarakat Islam di negara ini," katanya.

Harussani berkata sikap sebegini amat tidak wajar dan menunjukkan kerakusan mereka dalam mengaut keuntungan dengan menggunakan nama al-Quran.

Sehubungan itu, katanya LPPQ amat mengharapkan kerjasama daripada masyarakat Islam di negara ini menjadi 'mata dan telinga' KDN dan lembaga untuk memberi maklumat sekiranya terdapat kitab al-Quran yang tidak mendapat kelulusan lembaga dan KDN di pasaran.

Mengenai pelupusan al-Quran, beliau berkata KDN mengambil inisiatif sendiri dengan menyewa alat insinerator untuk melupuskan ayat atau bahan al-Quran Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 atau al-Quran yang mengandungi kesalahan dan al-Quran yang tidak dapat dibaca.

Dalam hal ini, Harussani berkata khidmat nasihat secara panduan berkaitan perkara ini turut diperluaskan kepada jabatan agama Islam negeri di seluruh Malaysia.

Beliau berkata KDN dan LPPPQ juga menerbitkan mashaf al-Quran sebagai panduan serta rujukan kepada para pencetak, penerbit dan pengimport al-Quran dan diedarkan kepada semua institusi masjid di seluruh negara sebagai rujukan percetakan teks al-Quran yang sahih.

Katanya dalam era globalisasi dan ledakan teknologi maklumat, LPPPQ mendapati al-Quran disalin dalam pelbagai bentuk dan format, antaranya VDC, DVD, CD-Rom dan yang terkini dalam bentuk digital.

Harussani berkata walau dalam bentuk apa sekalipun sebagai umat Islam mestilah cuba mengikuti peredaran zaman dengan mengambil tahu perkara baru ini.

Katanya bahagian percetakan al-Quran khususnya mengambil beberapa inisiatif untuk memastikan al-Quran yang dicetak, diedar dan dibaca oleh masyarakat Islam di negara ini bebas daripada sebarang kesilapan dengan memastikan setiap individu yang ingin mencetak al-Quran mestilah mempunyai lesen mencetak dan menerbit al-Quran.

"Di samping itu, al-Quran yang hendak dibawa masuk (import) ke negara ini perlu disemak terlebih dahulu oleh jawatankuasa penyemakan dan penilaian teks al-Quran (Lujnah Tasheh) dan diluluskan oleh LPPPQ," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain