suria

Permohonan Injunksi Lynas Didengar 19 Jun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan injunksi Lynas Corporation Limited and Lynas Malaysia Sdn Bhd bagi menghalang kumpulan dikenali sebagai 'Save Malaysia, Stop Lynas' (SMSL) daripada terus menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadap Lynas.

Hakim Datuk John Louis O'Hara menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas bertemu peguam Rishwant Singh dan K.H Wong yang mewakili Lynas serta peguam Gene Anand Vendargon bagi pihak SMSL.

Permohonan itu akan didengar secara inter-parte.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Hakim Dr Prasad Sandosham Abraham menetapkan 12 Jun untuk mendengar permohonan injunksi Lynas bagi menghalang pengusaha portal berita online 'Free Malaysia Today'(FMT) daripada terus menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadap Lynas.

Pada 19 April, Lynas memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan secara berasingan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam saman pertama, Lynas Corporation Sydney, Australia dan Lynas Malaysia menamakan MToday News Sdn Bhd sebagai defendan manakala dalam saman kedua, mereka menamakan SMSL Sdn Bhd (Save Malaysia, Stop Lynas) dan dua pengarahnya, Tan Bun Teet serta Lim Sow Teow, sebagai defendan.

Lynas mendakwa FMT pada 6 Mac telah menyiarkan satu artikel berunsur fitnah di laman webnya manakala SMSL menerbitkan artikel serupa pada 22 Mac di laman blog kumpulan itu.

Sehubungan itu, Lynas menuntut ganti rugi umum dan teladan, kos serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadap Lynas. - BERNAMA

Artikel Lain