suria

Mekanik Dituduh Cuba Rasuah Pegawai AADK Selepas Dikesan Positif Dadah

IPOH: Seorang mekanik yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, mengaku tidak bersalah memberi rasuah wang tunai sebanyak RM200 kepada seorang pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada tahun lepas.

Tertuduh Muhamad Syarofi Jaafar, 21, beralamat di Lahat, dituduh memberi suapan wang tunai RM200 kepada penolong pegawai AADK Zainol Kamal Zakaria sebagai dorongan supaya pegawai itu melepaskannya daripada ditahan pihak berkuasa apabila saringan air kencing mendapati tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Mekanik itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Jalan Raja Musa Mahadi di sini pada 7.30 malam 26 Nov tahun lepas.

Pertuduhan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya A. Hafiizh Abu Bakar mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang mana tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

A. Hafiizh memohon ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Mahinder Singh memohon wang jaminan itu dikurangkan kerana tertuduh hanya merupakan seorang mekanik dengan pendapatan RM800 dan menanggung ibu bapa yang sudah tua.

Bagaimanapun Hakim Julie Lack Abdullah menetapkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta 25 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain