suria

Bilik MRI Hospital P. Pinang Selamat Digunakan

GEORGE TOWN: Orang ramai dan pesakit di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini tidak perlu bimbang dengan masalah bilik Magnetic Resonance Imaging (MRI) di hospital itu yang mengeluarkan bunyi letupan dan asap pada Jumaat lepas kerana hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kawasan itu adalah selamat.

Pengerusi Lembaga Pelawat HPP Lim Thoon Deong berkata mesin pengimbas yang mengalami kebocoran gas itu dijangka beroperasi semula pada Jumaat ini.

"Hasil pemeriksaan oleh pihak hospital dan kontraktor mendapati mesin pengimbas yang digunakan sejak tahun 2002 di HPP itu cuma mengalami kerosakan namun ia selamat," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Jumaat lepas, mesin pengimbas berkenaan mengalami kebocoran gas yang dikatakan berpunca daripada masalah teknikal dan telah membebaskan gas helium yang digunakan dalam sistem penyejukan mesin itu.

Lim berkata punca sebenar kebocoran gas itu masih disiasat bagaimanapun siasatan awal mendapati ia mempunyai kaitan dengan tekanan tinggi terhadap penggunaan MRI.

"Saya difahamkan mesin pengimbas itu pernah mengalami masalah yang sama pada tahun 2007 dan 2009, dan kami berharap Kementerian Kesihatan dapat menambah sebuah lagi MRI di HPP kerana jumlah pesakit semakin bertambah," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain