suria

Kastam Sabah Rampas Pelbagai Barangan Bernilai Lebih RM1 Juta

TAWAU: Kastam Sabah merampas pelbagai barangan termasuk dadah dan mata wang negara asing bernilai RM1 juta termasuk cukai dalam operasi khas selama dua minggu di beberapa daerah di negeri ini.

Pengarah Kastam Sabah Dr Janathan Kandok berkata turut dirampas dalam operasi yang berakhir semalam, termasuk rokok, minuman keras, jubin, mercun, telefon bimbit, barangah bersubsidi seperti gula pasir, minyak masak, tepung dan beras.

"Tumpuan operasi ialah sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, Semporna, Kunak, Sandakan dan Tawau. Pantai Timur telah dikenal pasti berisiko tinggi bagi tujuan pengedaran dan penjualan barangan larangan kerana berhampiran dengan negara-negara jiran," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Menurut Dr Janathan, sepanjang operasi berkenaan yang melibatkan 51 pegawai itu, sebanyak 70 kertas siasatan dibuka melibatkan 75 suspek dan daripada jumlah 70 kes siasatan itu 25 kes dikenakan kompaun berjumlah RM136,313 dan selebihnya masih dalam siasatan.

Katanya dalam operasi di Pulau Danawan, Semporna, pada 12 April lalu, penguatkuasa merampas dadah jenis syabu seberat 24.52g dianggarkan bernilai RM6,130 selepas menyerbu dan menggeledah dua buah rumah di pulau itu pukul 6 pagi.

Katanya dalam serbuan itu, 14 suspek berumur antara 25 hingga 45 tahun, empat daripadanya wanita, yang kewarganegaraan mereka belum dikenal pasti, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dr Janathan juga berkata pihaknya masih menyiasat kes penemuan wang tunai berjumlah dua juta peso (RM144,600) negara jiran di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, yang dirampas ketika melakukan operasi di Semporna.

"Kastam Sabah sentiasa komited untuk merealisasikan visi operasinya iaitu menjana ekonomi, menjaga keselamatan dan memelihara warisan negeri Sabah. Aktiviti penyeludupan menjadi satu ancaman bukan sahaja terhadap ekonomi negara malah ancaman sosial dan keselamatan," katanya.

Menurut Dr Janathan pihaknya akan terus melakukan operasi bagi membendung aktiviti penyeludupan di Sabah dan mengingatkan penyeludup supaya menghentikan kegiatan mereka kerana pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka termasuk pihak yang bersubahat dengan aktiviti haram itu.

Dr Janathan juga mengingatkan orang awam supaya tidak membeli, menyimpan dan memiliki rokok tiruan dan belum lulus Kastam kerana perbuatan itu salah di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. -BERNAMA

Artikel Lain