suria

Polis Tahan Dua Lelaki Disyaki Kumpulan Samun Kereta

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam kes curi kenderaan di sekitar ibu negara ditahan di Kepong pada Sabtu.

Seorang daripada mereka cedera apabila kenderaan yang dinaiki tiga lelaki itu melanggar sebuah kereta lain dalam usaha meloloskan diri ketika dikejar polis.

Kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu mempunyai rekod jenayah lampau, kata Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan pada sidang akhbar di sini, Ahad.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu ditahan pada pukul 10.30 malam selepas polis mengesan kereta yang mereka naiki di Jalan Kepong menghala ke Selayang.

"Menyedari dikejar oleh polis, mereka cuba melarikan diri tetapi kereta mereka hilang kawalan lalu melanggar sebuah Proton Wira di lampu isyarat berhampiran Kompleks Desa Kepong.

"Seorang daripada mereka tersepit dalam kereta itu manakala seorang lagi cuba melarikan diri tetapi melanggar kereta polis menyebabkan kakinya patah. Seorang lagi rakan mereka dapat melarikan diri," katanya.

Zakaria berkata polis menemui sebilah parang di dalam kereta yang dinaiki tiga lelaki itu dan hasil siasatan mendapati kereta Toyota Camry yang mereka naiki itu dilapor dicuri di Padang Balang, Setapak, di sini Isnin lepas.

Berikutan tangkapan itu, polis percaya berjaya menumpaskan kumpulan curi kereta yang aktif di sekitar bandar raya sejak seminggu lepas, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain