suria

20,000 Saman Dikeluarkan Di LCCT Pada 2011

SEPANG: Polis berasa kecewa terhadap kelakuan dan sikap tidak bertanggungjawab pemandu yang meletakkan kenderaan mereka secara haram di sepanjang jalan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini.

Bagi tahun 2011 sahaja, sebanyak 20,043 saman telah dikeluarkan di terminal itu, semata-mata untuk kesalahan meletak kereta, kata ketua trafik negeri Selangor DSP Azmi Mansor.

Bagi tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 6,120 saman dikeluarkan, tidak termasuk 215 saman lain yang dikeluarkan pada operasi satu jam setengah yang dilakukan pada petang Jumaat.

Sesetengah kenderaan dikeluarkan saman berganda, kerana pemilik meletak kereta mereka sesuka hati dan meninggalkannya dalam jangka masa yang lama.

"Tetapi, walaupun selepas menerima banyak saman, pemandu masih berdegil melakukan tindakan sama di jalan yang sudah sempit dan di terminal sibuk ini.

"Ini adalah isu sikap. Mereka ini tidak mahu meletak kereta di kawasan-kawasan tertentu yang disediakan kerana tidak mahu berjalan jauh ke terminal. Jika boleh, mereka akan memandu ke dalam terminal itu sendiri," kata DSP Azmi, kecewa.

Beliau berkata pegawai trafik dapat menghabiskan sebuah buku kecil saman 50 muka surat dalam masa dua hari, terutama semasa musim puncak.

Setiap hari, sejumlah 12 orang pegawai akan berkerja bergilir-gilir dalam tiga syif dari pukul 6.00 pagi hingga 12.00 malam.

Ini bermakna mereka dengan mudah dapat menghabiskan sehingga enam buku kecil atau dengan mengeluarkan 300 saman sehari, menurut beberapa pegawai bertugas.

Walaupun begitu, DSP Azmi berkata mereka tidak mempunyai pilihan kecuali meneruskan kerja mereka sambil berharap cara ini akhirnya dapat membuatkan orang ramai menggunakan kemudahan tempat meletak kenderaan tersedia bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di terminal.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain