suria

SSM Dakwa 9,806 Syarikat & Perniagaan Pada 2011

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendakwa 9,806 syarikat, pegawai syarikat dan perniagaan di mahkamah kerana pelbagai kesalahan mengikut Akta Syarikat 1965 dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 bagi 2011.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam SSM Mohamad Shahren Mohamad Yusri, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pendakwaan meliputi tiga kesalahan lazim, termasuk kegagalan syarikat mengadakan mesyuarat agung tahunan melibatkan 2,542 kes.

Kesalahan lain ialah kegagalan syarikat menyerahsimpan penyata tahunan masing-masing di SSM dan kegagalan pengarah syarikat membentangkan penyata kewangan yang diaudit dalam mesyuarat agung tahunan syarikat.

Mohamad Shahren berkata 494 kes pendakwaan difailkan mengikut Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Kesalahan yang sering dilakukan golongan peniaga adalah menjalankan perniagaan selepas tamat tempoh pendaftaran, menjalankan perniagaan tanpa pendaftaran dan kegagalan mempamerkan sijil pendaftaran perniagaan.

Dalam pada itu, beliau meminta pengarah syarikat memastikan mesyuarat agung tahunan diadakan serta menyerahsimpan penyata tahunan dan penyata kewangan dalam tempoh yang ditetapkan.

"Pemilik dan rakan kongsi perniagaan hendaklah memastikan perniagaan didaftarkan dan pembaharuan perniagaan dibuat apabila tamat tempoh perniagaan setiap tahun," kata Mohamad Shahren. -BERNAMA

Artikel Lain