suria

13 GRO Warga Asing Ditahan Di Pub Dan Rumah Urut

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat urut refleksologi dan sebuah pub yang menawarkan layanan pelayan wanita atau GRO diserbu polis dan 13 wanita warga asing tanpa permit kerja yang sah ditahan di sini, malam Selasa.

Lima daripada mereka ditahan di pusat urut refleksologi manakala lapan lagi ditahan di pub berkenaan yang terletak di premis berasingan.

Ketika serbuan pukul 10.30 malam di pusat urut di Bandar Mahkota Cheras itu, terdapat lima orang pelanggan berada di dalam bilik urut di pusat berkenaan manakala di pub berkenaan pula terdapat lima pelanggan sedang bermesra dengan pelayan wanita terbabit.

Pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, ASP Adzli Abu Shah berkata pusat urut refleksologi itu mempunyai lesen perniagaan rumah urut yang sah namun pub itu pula menjalankan kegiatan secara haram.

"Kesemua pelayan wanita warga asing itu tidak mempunyai permit kerja dan menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara ini dan ketika serbuan, tiada khidmat seks diberikan kepada pelanggan.

"Polis tidak menolak kemungkinan pelayan itu menawarkan khidmat seks di luar premis dan menjalankan kegiatan tersebut secara sendiri tanpa diatur pemilik pusat urut dan pub tersebut bagi mendapatkan pendapatan yang lebih banyak," katanya kepada pemberita.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain