suria

Ahli Perniagaan & Rakan Bebas Daripada Tuduhan Menipu

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dan rakannya pada Selasa dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap 12 pertuduhan menipu membabitkan RM143,890 pada 2008.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membuat keputusan itu terhadap C.Yoganandha Moorthy, 38, dan Mercy Sumathi Christie, 43, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi semua pertuduhan itu.

"Masa dalam semua pertuduhan itu adalah tidak jelas iaitu mengenai bila sebenarnya berlaku tuduhan itu," kata Che Mohamad Zulkifly dalam keputusannya.

Bagi enam pertuduhan menipu, kedua-dua tertuduh didakwa menipu Wong Yoke Wan, 53, Tew Soo Guan, 31, Kong Shyang Kun, 31, dan Chan Kin Wai, 33, dengan menyerahkan enam cek yang tidak boleh ditunaikan bernilai RM93,250.

Cek itu diserah bagi memperdaya empat mangsa untuk melakukan kerja-kerja pendawaian, kerja-kerja membaiki paip, perkhidmatan mengangkat barang dan menyerahkan kunci rumah untuk disewakan kepada kedua-dua tertuduh.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rumah sewa berkenaan di alamat No. 39, Jalan Langgak Golf Ampang Hilir dan di rumah No. 3, Lorong Ru Kedua, Off Jalan Ampang, Ampang Hilir di sini antara 22 September dan 30 Oktober 2008.

Bagi enam pertuduhan lagi, Yoganandha Moorthy dan Mercy didakwa menipu V. Kodivelu, 29, dengan menyerahkan tiga keping cek bernilai RM50,640 sehingga mendorong mangsa menyerahkan komputer dan peralatannya di No. 3, Lorong Ru Kedua, Off Jalan Ampang, Ampang Hilir di sini antara 14 dan 21 Oktober 2008.

Yoganandha Moorthy dan Mercy didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farhan Read manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam A.G. Kalidas. - BERNAMA

Artikel Lain