suria

Wanita Tempatan Disyaki Melindungi Pati Ditahan Imigresen Melaka

MELAKA: Seorang wanita tempatan yang disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin, merupakan antara 107 warga asing yang ditahan dalam Operasi Bersepadu 6P di negeri ini awal pagi Khamis.

Pengarah Jabatan Imigresen Melaka Kamalludin Ismail berkata dalam operasi dari 12 tengah malam hingga 5 pagi ini, wanita berusia 30-an terbabit ditemui bersama lima lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 30-40 tahun di sebuah rumah di Jalan Pegaga, Taman Merdeka di sini. "Ketika serbuan dilakukan, seorang warga Bangladesh itu ditemui di siling rumah dan wanita bersama empat lagi di ruang tamu dan cuba melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Dalam operasi itu, katanya seramai 107 warga asing terdiri daripada rakyat Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal, Pakistan, Uganda dan Nigeria berusia antara 19 hingga 40 tahun ditahan kerana tidak dapat mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 94 adalah lelaki dan 13 wanita.

Operasi melibatkan seramai 28 pegawai penguatkuasa termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan Jabatan Pendaftaran, katanya.

Sementara itu, Kamalludin berkata bagi tempoh Januari lepas sehingga hari ini, seramai 924 orang ditahan dalam 131 operasi Jabatan Imigresen di seluruh negeri ini dan daripada jumlah itu, seramai 131 orang telah didakwa di mahkamah manakala 50 orang dikenakan denda. -BERNAMA

Artikel Lain