suria

PEMBAZIRAN CERAMAH…MENGAPA IA BERLAKU?

MUNGKIN ada di kalangan kita yang pernah menghadapi perasaan seperti mana yang saya rasakan kini, namun khuatir untuk menegur apatah lagi menyuarakan pandangan bahawa kita perlukan kepada satu kaedah pengawalan ceramah-ceramah agama yang begitu berleluasa sekarang.

Mengawal limpahan ceramah agama bukan bermakna menolak jihad dan dakwah. Apa yang ingin dititikberatkan di sini ialah kualiti ceramah tersebut.

Hendaklah disedari bahawa dakwah bukan sekadar berceramah agama. Banyak lagi kaedah yang boleh diguna pakai. Islam itu indah dan tidak menyempitkan, sesungguhnya jalan dakwah amat terbuka dan terbentang luas.

Ketika tergerak untuk menulis isu ini, saya amat risau memikirkan “feedback” yang akan saya terima, apatah lagi menegur sesuatu yang melibatkan agama, masih lagi menjadi stigma buat bangsa kita.

Namun memikirkan kemaslahatan umat juga perlu didahului maka perlu juga ada yang berani menyuarakan pandangan orang awam. Saya mula mengikuti program-program berbentuk agama sejak dari bangku sekolah lagi. Baik dari ajakan ibu bapa, mahupun mengikut rakan sebaya.

Keadaan ini berterusan sehinggalah kini, selagi ada ruang dan waktu terluang pasti kelihatan akan kelibat saya.

Di seluruh dunia, fenomena kegiatan berbentuk keagamaan juga tidak sunyi aktifnya walau di negara yang majoritinya bukan beragama Islam.

Ironinya, ini merupakan suatu perkembangan yang positif kerana walau di mana kita berada, masih ada program yang dirangka dan disusun oleh golongan tertentu bertujuan untuk memberi kefahaman agama kepada pesertanya.

Agar ia menjadi medan untuk ingat mengingati sesama manusia bahawa dunia ini hanya persinggahan semata-mata untuk mencari bekalan ke akhirat.

Hakikatnya saya tidak menentang program keagamaan sebegini, jauh sekali meminggirkan nya.

Saya yakin, melalui usaha dan juga program yang berterusan disusuli dengan tindakan susulan yang berkesan, saya melihat ramai manusia yang disentuh hidayah Allah yang akhirnya memberi kesedaran kepada mereka untuk berubah. Malahan saya sendiri mengalami transformasi ini.

Lambakan Program

Namun, dalam lambakan ceramah, kita seharusnya menilai kembali tujuan dan juga matlamat utama dalam program sebegini.

Jangan kita hanya mampu menganjurkan ceramah saban waktu setiap hari, tetapi hasilnya masih belum mampu diterjemahkan.

Saya akui, ramai yang suka mengikuti program-program bersifat seperti ini, tetapi ramai juga yang menganggap bahawa aktiviti-aktiviti seperti itu hanyalah untuk mengisi masa lapang mereka.

Apatah lagi program sebegini telah dimasukkan dalam KPI jabatan-jabatan kerajaan untuk diberi markah penilaian tahunan, kehadiran peserta lebih kepada mengejar markah dari mengejar ilmu.

Imbauan sejarah dakwah Rasulullah SAW, kita melihat setiap agenda dakwah Baginda mempunyai hala tuju yang sangat jelas.

Bermula dari zaman di Mekah untuk membina kekentalan akidah para sahabat kepada zaman di Madinah dengan matlamat membina sistem yang mengatur kehidupan masyarakat (ummah), politik, ekonomi mahupun muamalah sosial.

Hakikatnya, nilai keberkesanan sesuatu ceramah bukan bergantung kepada betapa ramainya bilangan yang hadir dan juga berapa banyak program yang direncanakan, tetapi nilaiannya terletak kepada sejauh mana kesediaan peserta yang hadir untuk berubah.

Lambakan program tidak memberi jaminan kepada kita bahawa mereka di luar sana sudah mampu menerima idea perubahan yang cuba dibawa.

Saya tidak mengatakan bahawa ceramah agama yang disusun sebegitu banyak itu tidak mempunyai nilai, bahkan ia merupakan suatu petanda positif bahawa golongan reformis Islam ini makin “advance” dalam menyeru masyarakat.

Namun dalam merangka ceramah agama yang pelbagai rupa dan pendekatan, kita harus melihat sejauh mana objektif sesebuah program itu boleh tercapai. Analisa dan juga bedah siasat perlu dilakukan untuk mengenal pasti di mana silapnya jika sesebuah objektif itu kurang berkesan.

Pedagogi Penceramah

Lambakan ceramah keagamaan merupakan satu cabaran kepada para penyampainya. Peserta sudah boleh memilih program mana yang boleh memberi impak yang mendalam dalam diri mereka.

Secara tidak langsung para penceramah perlu menjadi lebih berinovasi dan kreatif. Para penceramah perlu seiring dengan perkembangan zaman. Tahap kekreatifan juga perlu setanding dengan kemajuan.

Tidak dilupakan lenggok bahasa serta penggunaan bait-bait bahasa kontemporari boleh menarik perhatian pendengar. Gunalah cara apa sekalipun asalkan masih lagi berada dalam lingkungan batas syarak yang dibenarkan.

Pedagogi yang menarik mampu membuka minda peserta bahawa program keagamaan sebegini bukan semata-mata duduk di dalam usrah, jauh sekali hanya sekadar berceramah.

Di sinilah letaknya nilai kreativiti seseorang penceramah tersebut dalam memastikan mereka di luar sana mampu menangkap idea perubahan yang ingin dibawa.

Maka tidak hairanlah ada penceramah yang mempunyai pengikut-pengikut tertentu dan mampu mengumpul pendengar.

Ceramah Yang Bermakna

Tidak menjadi satu kesalahan untuk mana-mana pihak menganjurkan ceramah agama. Lambakan program sebegini ada baiknya, menyebabkan masyarakat boleh memilih untuk menyertai mana-mana majlis yang difikirkan sesuai.

Namun jika perancangan yang terperinci dan pastinya gabungan badan-badan penganjur tanpa sifat prejudis pasti dapat menghasilkan penganjuran ceramah yang lebih jitu, yang boleh memberi impak kepada peserta dan pastinya tidak timbul soal PEMBAZIRAN CERAMAH.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan bekas Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monash University. Beliau merupakan penyelaras/pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected]

Artikel Lain