suria

NLFCS Diperintah Bayar Ganti Rugi Kerana Langgar Kontrak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memerintahkan Koperasi Kebangsaan Permodalan Tanah Berhad (NLFCS) membayar ganti rugi kepada sebuah syarikat pengurusan projek setelah mendapatinya melanggar kontrak melibatkan sebuah projek perumahan di Sungai Petani, Kedah.

Hakim Datuk Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan bahawa koperasi itu gagal menyediakan hak milik tanah seperti yang dipersetujui dalam syarat perjanjian dengan Westingmont Holdings Sdn Bhd dan menyebabkan perjanjian itu tamat tempoh.

"Hak milik asal tidak pernah diserahkan kepada plaintif hingga menyebabkan projek perumahan berkenaan tidak boleh diteruskan dan defenden juga bertindak secara tidak jujur dalam menyediakan hak milik itu," kata Abdul Aziz.

Beliau memerintahkan NLFCS membayar ganti rugi khas RM305,500 dan kos guaman RM70,000 kepada plaintif.

Abdul Aziz juga membenarkan plaintif menuntut faedah 8 peratus setahun mulai tarikh penghakiman hinggalah ke tarikh kes ini diselesaikan.

Abdul Aziz berkata penilaian bagi ganti rugi am akan dibuat seorang pendaftar mahkamah dan menetapkan 2 April sebagai tarikh sebutannya.

Mengenai tuntutan balas oleh NLFCS, Abdul Aziz hanya meluluskan dua tuntutan koperasi berkenaan iaitu berhubung pinjaman sebanyak RM150,000 yang diperoleh plaintif untuk memindahkan hampir 100 penduduk setinggan di kawasan tanah seluas 5.28ha di Kampung Tukang, kira-kira 3km dari bandar Sungai Petani.

Satu lagi tuntutan yang diluluskan ialah RM4,500 yang dibayar koperasi itu kepada syarikat pengurusan projek berkenaan sebagai bayaran menjalankan kajian kemungkinan berhubung projek tersebut.

Abdul Aziz tidak meluluskan tuntutan balas defenden melibatkan bayaran RM300,000, sebahagian besarnya sebagai bayaran guaman kerana, urusan menukar status tanah pertanian kepada tanah projek perumahan serta bayaran pampasan kepada setinggan.

"Sebahagian besar perbelanjaan ini dikeluarkan sebelum bermulanya projek berkenaan dan oleh itu, defendan perlu membayarnya," kata Abdul Aziz.

Plaintif memfailkan tuntutan itu pada Ogos lepas setelah NLFCS memaklumkan kepadanya bahawa perjanjian yang ditandatangani pada 1998 untuk memajukan tanah berhampiran bandar yang pesat membangun itu, telah habis tempoh.

Setelah Westingmont berkali-kali mengemukakan tuntutan ganti rugi, NLFCS memaklumkan kepada syarikat itu bahawa pihaknya tidak bersedia untuk membayar sebarang ganti rugi bagi kerja yang telah dilakasanakan.

Berikutan itu, pada 23 Ogos 2010, Westingmont memfailkan saman untuk menuntut ganti rugi khas dan ganti rugi am berjumlah RM8 juta.

Pada 14 Jan, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Rahim mendapati wujud alasan munasabah dalam tuntutan yang dikemukakan Westingmont dan menolak permohonan NLFCS mengikut Perintah 18 Peraturan Mahkamah Tinggi.

Peguam K. Ranjit Singh dan Patminderjit Singh Gill mewakili plaintif, manakala S. Surendran mewakili defenden. - BERNAMA

Artikel Lain