suria

Kenaikan Gaji Penjawat Awam: Tiada Kenaikan Harga Barang - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan tiada kenaikan harga barang ekoran kenaikan gaji kakitangan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) dari tujuh hingga 13 peratus yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peniaga yang menaikkan harga barang tanpa sebab munasabah akan dikenakan tindakan.

"Kenaikan gaji tidak ada kaitan dengan kenaikan harga barang. Kenaikan harga barang bergantung kepada faktor lain, misalnya barang basah seperti ikan dan buah-buahan ianya bergantung kepada faktor cuaca, barang import pula bergantung kepada harga daripada negara luar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Agung kali pertama bagi penubuhan Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN) di sini, Jumaat.

"Kami telah menempatkan 1,500 pegawai pemantau harga kita di seluruh negara yang akan sentiasa memantau harga barang selepas PM mengumumkan kenaikan gaji.

"Kita ikut prosedur, mula-mula kita bagi 'notis tunjuk sebab', mereka akan jawab selama tujuh hari, kalau berpuas hati dengan jawapan mereka, kementerian tiada masalah. Tetapi jika kita tidak berpuas hati... denda sebanyak RM100,000 akan dikenakan untuk kesalahan kali pertama," katanya.

Mesyuarat pada Jumaat bersetuju untuk menubuhkan MIMCOIN demi menjaga dan mengembangkan ilmu perniagaan dalam konteks mempertingkatkan serta memartabatkan kaum India Muslim Malaysia.

Turut hadir di mesyuarat tersebut ialah Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Kebangsaan, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader, dan Datuk Jamarulkhan Kadir yang telah dilantik Presiden Protem MIMCOIN. - BERNAMA

Artikel Lain