PASIR PUTEH: Seorang ibu terkejut apabila mendapati anaknya turut cedera dalam satu kejadian tembakan, tetak dan membakar rumah yang berlaku berhampiran lapang sasar Bukit Merbau, di sini, awal pagi Jumaat.
Rashidah Zakaria, 43, berkata anaknya Mohd Raihan Mohd Ghazali, 25, cedera di beberapa bahagian badan selepas diserang 10 lelaki yang tidak dikenali ketika berada di sebuah rumah pukul 4 pagi.
"Sedangkan pada waktu maghrib semalam dia masih berada di rumah bersama saya di Kampung Kubang Gatal, Pasir Mas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Tengku Anis di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian itu, seorang rakannya Mohd Azrin Muhamad, 23, dari Kampung Slow Machang, Pasir Mas cedera parah di bahagian tangan dan paha selepas ditembak dan ditetak oleh penjenayah terbabit dan kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Tengku Anis untuk mendapatkan rawatan.
Rashidah mendakwa Mohd Raihan lepasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) bahagian pendawaian elektrik tidak mempunyai musuh dan menumpang tidur sekali sekala bersama kawan-kawannya di rumah berkenaan.
Beliau yang mengetahui kejadian itu pada pukul 8 pagi tadi mendakwa Mohd Raihan, anak kedua dari enam orang adik beradik, tidak pernah terbabit dalam sebarang kegiatan jenayah dengan mana-mana kumpulan.
Sementara itu, ketua operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Wan Ngah Wan Long, ketika ditemui pemberita di tempat kejadian berkata pihaknya bersama tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pukul 6.45 pagi.
Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati hampir keseluruhan rumah yang dibina daripada simen dijilat api.
Beliau berkata, turut musnah sebuah kereta Perodua Kelisa dan sebuah motosikal dengan kerugian ditaksirkan lebih RM200,000.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan memiliki senjata api.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati insiden itu mempunyai hubung kait dengan kegiatan pengedaran dadah. -BERNAMA


