suria

Kegagalan Pelihara Produk Pelancongan Akan Beri Imej Negatif : Dr Ng

KOTA BAHARU: Kegagalan kerajaan negeri Kelantan menjaga dengan baik produk pelancongannya dikhuatiri akan memberi imej negatif kepada industri pelancongan di negeri itu, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata Kelantan mempunyai banyak produk pelancongan tetapi pihak kerajaan negeri tidak menyelenggarakannya dengan baik terutama daripada aspek kebersihan dan infrastruktur.

"Kita menerima banyak aduan daripada pelancong yang datang ke sini bahawa mereka menginap di hotel tetapi perkhidmatan yang ditawarkan tidak bagus manakala beberapa lokasi tumpuan pelancong tidak dijaga kebersihannya," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pengusaha industri pelancongan negeri Kelantan dan majlis Riang Ria Tahun Baru Cina di sini hari ini, Ng berkata Kelantan dahulunya terkenal dengan keindahan dan kebersihan pantainya tetapi kini pantai tersebut terjejas teruk akibat hakisan ombak.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah yang mengeluarkan lesen kepada hotel dan tempat penginapan lain, perlu memastikan pengusaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelancong, agar mereka merasa selesa melancong ke negeri ini.

Katanya PBT juga perlu memastikan pusat SPA diuruskan dengan sempurna sebagaimana peraturan dalam lesen yang dikeluarkan, memandangkan SPA merupakan produk pelancongan yang semakin digemari pelancong.

Mengenai Tahun Melawat Kelantan (TMK) pada tahun ini, beliau berkata TMK adalah idea baik tetapi kerajaan negeri perlu membuat perancangan rapi termasuk menyediakan kalendar acara, produk pelancongan baru dan memastikan produk pelancongan sedia ada dijaga dengan baik.

Dalam perkembangan lain, Dr Ng yang juga Pengerusi MCA Kelantan berkata penduduk Kelantan sudah menerima dengan baik program yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memajukan ekonomi negara dan menghadapi ekonomi dunia yang tidak menentu.

"Memang ada perubahan pandangan penduduk Kelantan dari segi pencapaian Barisan Nasional (BN) dan apa yang kita lihat sokongan terhadap Perdana Menteri adalah tinggi," katanya.

Beliau berharap rakyat akan memberi mandat kepada BN untuk kembali mentadbir Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, antaranya supaya lebih banyak peluang ekonomi disediakan kepada rakyat. BERNAMA

Artikel Berikut

3,996 Calon Lulus STAM 2011

Artikel Lain