suria

Musa Yakin Rakyat Sabah Bijak Menilai Parti Pilihan Seperti PRU 2008

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yakin rakyat Sabah bijak menilai dan membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya yang akan datang seperti yang ditunjukkan pada pilihan raya umum lepas.

Beliau berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, sesiapapun boleh menyertai atau menubuhkan parti yang mereka suka.

"Saya percaya rakyat Sabah cukup bijak untuk membuat pilihan apabila tiba masanya," katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan Sabah di Kepayan, dekat sini, Selasa.

Musa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata demikian ketika diminta mengulas penubuhan cawangan Parti Reformasi Negeri (STAR) yang berpangkalan di Sarawak yang mana bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan menjadi pengerusinya.

Presiden STAR, Dr Dripin Sakoi dan pengasas parti itu Dr Patau Rubis melancarkan STAR Sabah di Dewan KDCA Jumaat lepas.

Pada pilihan raya lepas, BN Sabah hampir menyapu bersih kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dengan memenangi 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN dan hanya tewas kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan kerusi DUN Sri Tanjung.

Mengenai cadangan Syarikat Penerbangan Sabah Berhad (Sabah Air) milik kerajaan negeri untuk menjadi syarikat penerbangan penuh, Musa berkata cadangan itu masih lagi di peringkat kajian dan ia akan diputuskan kabinet negeri.

Sementara itu, Musa berkata kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pusat khususnya Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan (KPKK) yang membangunkan kompleks KPKK Sabah.

"Ini akan menjadi kebanggaan kita di Sabah. Kompleks bersepadu KPKK ini amat baik dengan kelengkapan yang cukup.

"Saya percaya dengan adanya bangunan ini dapat memberi keselesaan, memberi ruang dan keazaman tinggi untuk warga KPKK terus menjalankan peranan mereka seperti yang diharapkan oleh masyarakat.

"Maka dari awal lagi kita telah memberikan tapak yang strategik untuk bangunan ini memandangkan peranan KPKK amat penting untuk kita di Sabah," kata Musa.

Kompleks bersepadu yang bernilai sekitar RM88 juta akan menempatkan pejabat Jabatan Penyiaran, Jabatan Penerangan, Bernama, dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA). - BERNAMA

Artikel Lain