suria

Risda Terima Peruntukan Tahun Depan RM327 Juta

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menerima peruntukan sebanyak RM327 juta untuk tahun depan bagi melaksanakan program pembangunan pekebun kecil termasuk program penanaman semula getah di kawasan kira-kira 40,000 hektar di seluruh negara.

Ketua Pengarah Risda Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata, peruntukan itu turut meliputi bantuan berturut yang diberikan kepada pekebun kecil iaitu bayaran secara ansuran untuk penjagaan kebun, pembelian benih dan baja.

"Bantuan tersebut diharap dapat meningkatkan produktiviti pekebun kecil seluruh negara, dalam usaha kerajaan mencapai sasaran penghasilan 1,600 kilogram getah bagi setiap hektar kebun untuk setahun, berbanding 1,153 kilogram pada masa sekarang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kayuhan Ceria Risda 2011 di sini, Sabtu.

Wan Mohamad Zuki berkata, jika sasaran penghasilan getah itu dapat dicapai, maka hasrat kerajaan untuk melihat keluarga pekebun kecil menerima pendapatan sebanyak RM2,500 sebulan menjelang 2015 dan RM4,000 sebulan menjelang 2020 dapat direalisasi. "Jadi kita minta semua pihak, warga Risda, pekebun kecil dan kumpulan sasar kita sendiri untuk beri sokongan terhadap usaha ini," katanya.

Untuk tahun ini, Wan Mohamad Zuki berkata, pencapaian organisasi itu amat memberangsangkan di mana 88 peratus daripada sasaran penanaman semula getah yang ditetapkan iaitu 14,000 hektar telahpun dilaksanakan sehingga November lalu dan yakin sasaran itu dapat dicapai 100 peratus menjelang akhir tahun ini.

Gerakan mengutip biji getah yang dilaksanakan bagi menghasilkan benih bermutu juga telah melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 300 metrik tan, dan jumlah yang diperoleh itu adalah mencukupi untuk program penanaman biasa dan penanaman semula getah untuk tahun depan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Motosikal Terbakar Di Flat

Artikel Lain