suria

Petronas Carigali Temui Minyak Di Luar Pantai Sabah

KUALA LUMPUR: Cabang eksplorasi dan pengeluaran Petronas, Petronas Carigali Sdn Bhd, telah menemui jumlah minyak yang signifikan di luar pantai Sabah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata penemuan itu dilakukan di telaga Wakid-1 di dalam Blok 2G-2J, kira-kira 100km di timur laut Kota Kinabalu.

Telaga itu digerudi pada 30 Mei, 2011 dan selesai pada 4 Julai, 2011.

Petronas berkata ia mencapai ketinggian vertikal 3,330m dan mengesahkan kehadiran minyak yang signifikan dan kewujudkan takungan gas.

"Tiga ujian pengeluaran dilaksanakan di tiga takungan berlainan yang mengalirkan minyak pada kadar maksimum disatukan 8,200 tong sehari.

"Anggaran awal semasa hidro karbon di kawasan itu dari penemuan itu ialah 227 juta tong bersamaan minyak (mmboe), dengan jangkaan potensi peningkatan," kata Petronas.

Petronas Carigali merancang menilai lebih lanjut penemuan itu pada masa depan yang terdekat.

Wakid-1 adalah telaga kedua di Blok 2G-2J sejak diberikan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) pada Okt 2010.

Telaga pertama blok itu, Tambuku-1, telah digerudi awal tahun ini tetapi menunjukkan kehadiran penemuan gas yang kecil jumlahnya.

Petronas Carigali adalah pemegang ekuiti tunggal PSC bagi blok itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain