suria

Pembunuhan Banting : Rakan Noorhisham Terima Panggilan Pada Malam Kejadian

SHAH ALAM: Bekas rakan sekerja pegawai bank, Noorhisham Mohammad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, bahawa dia menerima panggilan daripada telefon pintar BlackBerry milik mangsa, pada hari lelaki itu didakwa dibunuh bersama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Lyly Zanariyah Manaf, 32, yang pernah berkerja sebagai perunding kewangan peribadi di Bank CIMB cawangan Kampung Baru, dekat sini, bagaimanapun menambah panggilan pada pukul 9.50 malam, 30 Ogos 2010 itu bukan dibuat oleh Noorhisham, sebaliknya daripada seorang lelaki yang bercakap dalam nada suara yang dalam dan perlahan-lahan.

Saksi pendakwaan ke-62 itu seterusnya memberitahu, beliau tahu panggilan selama 47 saat itu dibuat daripada telefon pintar milik Noorhisham kerana skrin telefonnnya memaparkan nama 'Abang Hisham' yang merupakan nama yang diletakkan pada simpanan telefon bimbitnya.

"Pemanggil itu bertanyakan sekiranya kami boleh berjumpa pada keesokan hari di pejabat tetapi saya mengatakan penjabat akan ditutup kerana cuti umum sambutan Hari Merdeka.

"Kemudian pemanggil itu kata bagaimana jika berjumpa pada hari selepasnya. Saya bertanyakan di mana Noorhisham dan dia terkejut lalu kata 'hah' dan terus matikan telefon," kata Lyly Zanariyah.

Tambah saksi, beliau telah cuba untuk menghubungi semula telefon Noorhisham sebanyak dua kali, tetapi semua panggilan tersebut tidak berjawab dan terus ke peti simpanan suara.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof, saksi memberitahu, pemanggil tersebut ada menyatakan namanya tetapi beliau tidak dapat mendengar dengan jelas disebabkan suasana persekitaran yang bising semasa itu.

Katanya lagi, sepanjang bekerja di Bank CIMB sejak 16 Ogos 2010, Noorhisham hanya pernah menghubunginya sekali sahaja iaitu pada pagi 30 Ogos 2010 untuk memberitahu bahawa beliau akan masuk ke pejabat agak lewat pada hari itu.

Tambah saksi, sebelum beliau keluar dari pejabat pada hari yang sama, Noorhisham ada mengajaknya untuk turut sama ke Banting, dekat sini, bagi berbuka puasa bersama seorang peguam yang tidak dinyatakan namanya.

"Saya menolak ajakan itu kerana saya telah mempunyai rancangan untuk berbuka puasa bersama kawan-kawan," tambah wanita bertubuh kurus itu.

Ketika disoal balas oleh peguam Amer Hamzah Arshad, saksi yang merupakan pemengang graduan penyiaran tetapi mempunyai pengalaman selama tujuh tahun dalam bidang perbankan mengakui bahawa beliau tidak boleh menentukan bangsa individu yang menghubunginya pada malam tersebut.

Prosiding pada Rabu juga menyaksikan kehadiran Pakar Perunding Perubatan Forensik dari Jabatan Perunding Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur, Dr Nurliza Abdullah memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-63.

Nurliza, 46, memberitahu, kepakarannya adalah khusus kepada bidang forensik anthropologi yang berkaitan dengan pemeriksaan tulang atau rangka manusia dan bertujuan untuk memastikan identiti tulang seperti mengenal pasti umur, bangsa dan ketinggian pemilik tulang tersebut, selain dapat menentukan cara kematian.

"Sekalipun tulang dalam keadaan serpihan, ia boleh dipastikan sama ada tulang tersebut adalah tulang manusia atau tidak kerana sifat struktur atau rupa corak pada tulang boleh dilihat berdasarkan penelitian dan pengamatan menggunakan mata kasar dan kanta pembesar," katanya dan menambah tulang manusia mempunyai ciri-ciri tersendiri.

Beliau yang pernah terlibat dalam penyiasatan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu seterusnya memberitahu, penglibatannya dalam kes yang berprofil tinggi ini bermula pada 13 September 2010 berdasarkan permohonan pihak polis untuk membuat pemeriksaan pada barang kes yang ditemui.

Bagaimanapun, keterangan Nurliza 'terbantut' selepas beliau tidak membawa nota yang dibuatnya yang perlu dirujuk semasa memberi keterangan di mahkamah menyebabkan Hakim Datuk Akhtar Tahir menangguhkan prosiding kepada Khamis.

Dalam kes ini, seorang bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, sedang dibicarakan bersama tiga pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan Noorhisham, 38, yang merupakan pegawai bank di Bank CIMB.

Semua tertuduh juga didakwa membunuh pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang turut dilaporkan hilang selepas berkunjung ke Banting.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di sebuah ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Jika disabitkan kesalahan, semua tertuduh boleh dihukum mati mandatori seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain