suria

Kastam Melaka Tumpas Penyeludupan Rokok Bernilai RM4.3 Juta

MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Melaka berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok haram bernilai RM4.3 juta termasuk cukai dalam tiga operasi berasingan sepanjang minggu lepas.

Pengarah Kastam negeri Datuk Mohd Nasir Said berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 30 tahun dan merampas lima buah lori dan sebuah kereta dipercayai digunakan dalam penyeludupan berkenaan. "Operasi pertama dilakukan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Kluang, Johor; seterusnya di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, di sini; dan berakhir di Taman Mount Austin, Johor Baharu. "Kedua-dua suspek tersebut ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin bagi membantu siasatan, dan akan didakwa di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan mengangkut barang larangan import dan Seksyen 135(1)(d) akta sama iaitu menyimpan barangan larangan import," katanya.

Bercakap pada sidang media di Bandar Hilir di sini, beliau berkata sebanyak 7.3 juta batang rokok tidak sah bernilai RM761,000 dan tidak mempunyai setem cukai Malaysia antaranya jenama 'Canyon' dan 'June Slim', dirampas dalam tiga operasi itu. "Cukai ke atas rokok berkenaan ialah $RM3.594 juta," katanya. Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua rokok seludup tersebut dipercayai di bawa masuk ke negara ini melalui negara jiran yang menjadikan taman perumahan serta ladang kelapa sawit sebagai pusat transit sebelum diedar dan ke pasaran gelap seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Lain