suria

Permohonan Bawa Masuk Pekerja Asing Dibenarkan Selepas Program 6P Berakhir

PUTRAJAYA: Majikan masih dibenarkan menghantar permohonan untuk membawa masuk pekerja asing ke negara ini untuk berkhidmat dalam pelbagai sektor melainkan sektor pembantu rumah, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam.

Bagaimanapun permohonan yang dikemukakan itu hanya akan diproses selepas fasa kedua program 6P iaitu proses pemutihan berakhir, katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat pada Seminar Syarikat Pengurus Bagi Program Menyeluruh Menangani Pati (Program 6P) di sini, Sabtu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tarikh sebenar pelaksanaan proses pemutihan hanya akan ditentukan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 3 Oktober depan.

Dalam pada itu, Mahmood berkata taklimat yang diadakan untuk 336 syarikat pengurus hari ini adalah penting supaya mereka lebih memahami bagaimana untuk melaksanakan proses pemutihan Pati, selain berpeluang mengemukakan pandangan untuk tujuan penambahbaikan berhubung peranan mereka semasa proses ini.

"Inilah bahagian paling sukar (dalam 6P). Bagaimana pemutihan nak dibuat, bagaimana daripada 'legal' nak jadi 'legalise'. Ada langkah demi langkah bagaimana peranan majikan, bagaimana peranan syarikat pengurus, sektor mana dan inilah yang akan kita bincangkan," kata beliau.

Terdahulu semasa taklimat kepada syarikat pengurus, Mahmood berkata semasa proses pemutihan berlangsung, syarikat pengurus diminta mengemukakan dokumen permohonan yang lengkap daripada majikan beserta Pati yang didaftar di bawah syarikat pengurus yang sama, mendaftar wakil syarikat, menyemak tarikh temuduga majikan dan menguruskan pembayaran levi.

Syarikat juga diingatkan supaya tidak mengenakan caj tambahan melebihi RM300 seperti yang ditetapkan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain