suria

Dua Anugerah Iktiraf Wanita Diperkenalkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkenalkan dua anugerah berprestij bagi mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan ekonomi dan sosial di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Anugerah Perdana Menteri Usahawan Wanita 2011 dan Anugerah Perdana Menteri Penggiat Sosial Wanita 2011 itu diharap dapat memberi inspirasi kepada wanita untuk meningkatkan pencapaian mereka.

Pengenalan dua anugerah ini selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke arah meningkatkan martabat wanita dan kesaksamaan gender di Malaysia, katanya kepada pemberita selepas pelancaran anugerah, di sini, Jumaat.

Pencalonan untuk anugerah terbabit dibuka bermula hari ini sehingga 17 Ogos, manakala penyampaiannya pula dijadual pada 25 September.

Shahrizat berkata Anugerah Perdana Menteri Usahawan Wanita 2011 mengiktiraf penglibatan dan sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi negara dan pemerkasaan wanita, manakala Anugerah Perdana Menteri Penggiat Sosial Wanita 2011 pula mengiktiraf usaha kaum hawa dalam kegiatan sosial. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain