suria

Perhimpunan Haram Tidak Jejas Kemasukan Pelajar Asing Ke IPT

KUALA LUMPUR: Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Tan Sri Ghauth Jasmon yakin pengambilan penuntut antarabangsa di institusi pengajian tinggi tempatan tidak terjejas ekoran perhimpunan haram di sini Sabtu lepas.

"Perhimpunan seperti itu berlaku di seluruh dunia, ia berlaku di Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah dan banyak lagi negara lain di dunia, cuma ia tidak kerap berlaku di Malaysia," katanya kepada Bernama selepas merasmikan persidangan kejuruteraan United Kingdom-Malaysia-Ireland 2011 (UMIES2011) di sini, Selasa.

Beliau berpendapat perhimpunan seperti itu adalah sesuatu yang biasa di seluruh dunia tetapi bagi institusi pendidikan, mereka mempunyai tugas iaitu bagi memastikan bahawa Malaysia mampu bangkit secara global.

Mengenai persidangan itu, Ghauth berkata sudah tiba masanya universiti tempatan mengambil langkah tambahan bagi menghasilkan penyelidikan dan penerbitan yang bermutu dan bersaing dengan universiti ternama dunia.

"Dengan sikap sedemikian, kita juga memberi isyarat kepada institusi pengajian tinggi yang lain di Malaysia bahawa kita memberi perhatian khusus kepada usaha yang bermutu tinggi dan bukan setakat kerja biasa sahaja," katanya.

Ghauth berkata persidangan seperti ini mampu menghantar isyarat kepada institusi pengajian tinggi yang lain bahawa sudah tiba masa mereka bercakap mengenai kualiti dan bukan hanya mengenai pengajian tinggi secara umum.

Sementara itu, Profesor James McElnay dari Queen's University Belfast menegaskan bahawa perhatian perlu diberi terhadap impak sesuatu penyelidikan itu terhadap negara dan bukan hanya setakat jumlah dan kualiti penyelidikan yang dijalankan.

"Kita mesti mampu menunjukkan impak penyelidikan itu dari segi ekonomi dan perubatan dan bukan hanya dalam lingkungan ahli akademik," katanya.

Persidangan dua hari dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan dihadiri 100 penuntut itu bertujuan bagi meningkatkan rangkaian antara universiti dalam soal penyelidikan dan perkongsian idea baru. -BERNAMA

Artikel Lain